fbpx

Jangan tenggelam dengan pujian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

 

MOHD TURMADZI MADUN, PENGARANG BERITA KOSMO.

Kemasyhuran yang dinikmati oleh bintang bola sepak berada di kelas tersendiri.

Cukuplah jika diberikan contoh keseronokan bagi setiap pemain bola sepak itu bermula apabila mereka mula menjadi perhatian ketika berada di bangku sekolah lagi.

Rasanya ketika itu dia diibaratkan seperti selebriti. Daripada tukang kebun, pekerja kantin hinggalah kepada rakan sekelas dan guru kenal dengannya.

Lagi menambahkan ‘saham’ apabila dia membantu sekolahnya menjadi juara daerah atau dipilih untuk mewakili negeri. Pakej kacak turut menjadi faktor.

Namun, seingat penulis, ada sebahagian bintang bola sepak sekolah hanya gah di tengah padang sahaja.

Kalau diukur dari segi akademik, mereka agak biasa-biasa sahaja. Agak jarang kita dengar golongan ini datang dengan pakej pintar.

Banyak faktor yang menyebabkan keadaan itu, antaranya sibuk dengan latihan, kepenatan dan tidak memberikan tumpuan di dalam kelas.

Jika bernasib baik, kehebatan bermain bola sepak membantunya mencari rezeki apabila tamat zaman persekolahan. Ada sesetengahnya, dilamar kelab tertentu ketika masih bersekolah.

Namun, harus diingat langit tidak selalunya cerah kerana rata-rata pemain bola sepak pasti dihantui oleh kecederaan.

Ada juga yang sedang sedap menerima gaji besar tiba-tiba prestasinya pula merudum sebaik sahaja dibawa ke luar negara.

Kalau bukan kerana masalah komunikasi, pasti melibatkan kos yang tidak lagi dapat ditampung. Ada juga yang mempunyai masalah hubungan dan tidak ketinggalan hanyut dengan pujian.

Bila bercakap mengenai pemain berbakat yang dilamar kelab luar negara, pasti kita terkenangkan Titus James Palani.

Remaja berasal dari Brickfields, Kuala Lumpur itu terpilih menyertai akademi kelab divisyen satu Perancis, Le Havre.

Namun, cerita mengenainya senyap begitu sahaja. Beliau dikatakan banyak bertukar-tukar kelab selepas itu tanpa sebarang pencapaian.

Ini sesuatu yang menyedihkan dan harus diambil iktibar buat bintang muda, Luqman Hakim Shamsudin yang bakal menempa nama bersama kelab Belgium, KV Kortrijk.

Malam kelmarin, penyerang sensasi bawah 19 tahun itu telahpun terbang ke sana untuk menimba pengalaman selama lima tahun dengan kelab tersebut.

Jangan tenggelam dengan pujian dan berusahalah bersunguh-sungguh untuk menempa nama di arena antarabangsa.

Kekalkan aksi cemerlang seperti yang anda pamerkan sepanjang anda mewakili Akademi Mokhtar Dahari dan skuad bawah 16 serta 19 negara. Malaysia bersamamu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI