fbpx

Henry Golding James Bond pertama Asia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAMA Henry Golding sedang dalam pertimbangan untuk menggalas watak James Bond menggantikan Daniel Craig.

NAMA pelakon kelahiran Malaysia, Henry Golding dikhabarkan menjadi pertimbangan untuk melakonkan watak ikonik James Bond sekali gus berkemungkinan menjadi ‘James Bond Asia’ pertama.

Menerusi filem aksi terbaharunya, Snake Eyes: GI Joe Origins, karya tersebut dikatakan menguatkan portfolio anak kelahiran Betong, Sarawak itu untuk memainkan watak perisik terkenal Hollywood dalam jenama ikonik 007.

Ketika menjadi tetamu dalam program bual bicara, Watch What Happens Live with Andy Cohen, Henry menjawab tentang kemungkinan namanya mungkin antara yang berpeluang untuk diangkat menjayakan karakter James Bond.

“Saya rasa mereka (pihak produksi) sedang mencari calon lain dan sudah tentu, mereka yang layak dan berkebolehan ingin sekali terlibat memainkan peranan itu,” kata Henry, 34.

Terdahulu, timbul desas-desus mengatakan Henry merupakan antara pelakon yang sedang dalam pertimbangan untuk menggalas watak James Bond apabila Daniel Craig ‘bersara’ selepas filem terakhirnya, No Time To Die ditayangkan September ini.

Biarpun belum mengiyakan mahupun menidakkan tentang persoalan sama ada dia akan menjawat peranan tersebut, jelas kelihatan, Henry tidak akan menolak sekiranya ditawarkan peluang keemasan berkenaan.

Dalam gelanggang media sosial, ramai berasa teruja terutama peminat Malaysia dengan berita yang bertebaran itu dan mengharapkan Henry akan terpilih untuk melakonkan watak dambaan ramai pelakon hebat dunia.

“Henry Golding sebagai Bond. Lagi bukti orang Malaysia ramai yang berbakat tetapi perlu keluar dari negara ini untuk lebih berjaya dalam seni,” ciap seorang pengguna.

Terdahulu, beberapa nama aktor hebat dunia seperti Henry Cavill, Richard Madden dan Idris Elba turut dikhabarkan antara calon yang berkemungkinan menyambung legasi tinggalan Daniel Craig untuk filem Bond berikutnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI