fbpx

Sultan Johor biaya kos baik pulih rumah dipukul ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Ibrahim (dua dari kiri) berkenan melawat rumah penduduk yang terjejas dalam kejadian ribut di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor hari ini. Foto IHSAN ROYAL PRESS OFFICE

KOTA TINGGI – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan untuk membiayai 13 kediaman yang mengalami kerosakan teruk akibat ribut di Tanjung Sedili di sini Jumaat lalu.

Sultan Ibrahim bertitah kos tersebut akan dibiayai oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dan mahu kerja baik pulih itu dilakukan dengan segera.

“Saya telah menitahkan 13 rumah yang terjejas teruk ketika ini segera dimulakan kerja-kerja pembaikan supaya kelak penduduk dapat pulang ke kediaman masing-masing,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan mengemudi sendiri bot laju dari Mersing ke Jeti Awam Sedili Besar sebelum berangkat melawat kawasan perkampungan serta kediaman penduduk yang terjejas akibat bencana alam itu.

Pada lawatan berkenaan baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Puan Hajah Hazlina Jalil dan Mejar Cina Datuk David Wong.

Sultan Ibrahim turut bertitah wakil baginda, David Wong akan turut mendapatkan maklumat terperinci daripada Pegawai Daerah Kota Tinggi berhubung jumlah keseluruhan kediaman yang terjejas teruk.

Sementara itu, David Wong berkata, kerja-kerja pembaikan akan dimulakan segera membabitkan kediaman yang terjejas teruk ketika ini.

“Dari semasa ke semasa, saya akan mendapatkan maklumat daripada Pegawai Daerah (Kota Tinggi) berhubung kediaman-kediaman lain yang turut terjejas, termasuk kerosakan kecil,” katanya.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, hujan lebat selama lebih dua jam bermula kira-kira pukul 3 petang disusuli ribut dan angin kencang menyebabkan 291 rumah dan beberapa bangunan kerajaan mengalami kerosakan.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI