LISBON – Barcelona pastinya terdesak mahu kekal bersaing dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini untuk sekurang-kurangnya menutup kekecewaan mereka yang masih belum meraih sebarang trofi musim ini.
Bagaimanapun, mereka perlu terlebih dahulu melepasi halangan Bayern Munich pada aksi suku akhir awal pagi esok di Estadio Da Luz sebelum boleh membayangkan trofi berkenaan dibawa pulang ke Camp Nou.
Reputasi cemerlang Bayern kebelakangan ini menyebabkan pengendali The Catalan, Quique Setien perlu turun dengan formasi yang tepat untuk mereka mengecewakan skuad bimbingan Hansi Flick itu.
Formasi 4-4-2 berlian mungkin akan menjadi pilihan Setien dengan meletakkan empat pemain tengah yang bertugas membantu dua penggempur utama mereka, Lionel Messi dan Luis Suarez serta mengimbangi kreativiti Bayern.
Arturo Vidal, Frenkie De Jong, Sergio Busquets dan Sergi Roberto adalah kuartet terbaik untuk menjalankan tugas berkenaan tetapi mereka perlu mengorbankan dua senjata penting, Antoine Griezmann serta Ousmane Dembele jika mahu menggunakan taktikal ini.
Di bawah kendalian Flick, Bayern dilihat gemar untuk menggunakan taktikal 4-2-3-1 yang memberi keutamaan pada bahagian sayap untuk memulakan setiap serangan mereka menyebabkan pilihan formasi Setien dilihat lebih berasas.
Empat pemain tengah Barcelona itu akan dikerah menyekat pemain sayap Bayern yang bertugas untuk memastikan bola sampai ke kaki penggempur utama, Robert Lewandowski dan dalam masa sama, kesemua mereka mampu untuk turun ke bahagian pertahanan dengan lebih cepat membantu benteng pertahanan.
Dalam pada itu, empat pemain di bahagian tengah juga menjadi salah satu cara untuk The Catalan menyekat pergerakan Thiago Alcantara dan Leon Goretzka selain mampu merangka pergerakan Messi serta Suarez dengan meletakkan kedua-dua mereka dalam posisi yang mampu memberi ancaman kepada Bayern.
Bagaimanapun, formasi berkenaan boleh dianggap sebagai anti-Barcelona kerana ia bukan cara natural pasukan tersebut beraksi dengan meminggirkan falsafah Cruyffian melalui formasi 4-3-3 untuk beraksi secara bertahan.
Ketika bertemu Napoli, ramai pemerhati berpendapat Setien akan turun dengan formasi 3-5-2 menggunakan Sergi Roberto dan Jordi Alba sebagai pemain sayap pertahanan tetapi pengendali berusia 62 tahun itu membuat kejutan menggunakan taktikal 4-3-1-2 dengan meletakkan Griezmann di belakang Messi dan Suarez.
Hasilnya, mereka tidak berdepan masalah untuk membenam cabaran anak-anak buah Gennaro Gattuso apabila Suarez dan Messi masing-masing berjaya mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu.
Namun, segala-galanya akan terjawab sejam sebelum aksi berkenaan apabila pasukan itu mengumumkan senarai pemain kesebelasan utama mereka. – AGENSI