fbpx

Kes kematian hampiri angka 8,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kes kematian di­sebabkan jangkitan Covid-19 di seluruh negara menghampiri 8,000 kes setakat semalam selepas kes harian mencatatkan tiga angka sejak bulan lalu.

Semalam, sebanyak 92 kematian direkodkan akibat jangkitan virus maut itu dengan dua daripada­nya melibatkan warga asing.

Ini menjadikan jumlah kes kematian sepanjang 18 bulan sejak pandemik ini melanda negara pada Januari tahun lalu adalah seba­nyak 7,994 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes kematian semalam, sebanyak 50 kes adalah melibatkan pesakit lelaki, manakala 42 kes lagi merupakan pesakit wanita.

Menurut beliau, terdapat lapan kes meninggal dunia yang dilaporkan di luar hospital atau Brought In Dead (BID), manakala sebanyak 84 kes daripada kematian tersebut mempunyai sejarah pe­nyakit.

“Sebanyak 27 kes kematian dilaporkan di Selangor, 23 kes di Johor, 12 kes di Kuala Lumpur, 11 kes di Negeri Sembilan, lima kes di Melaka, empat kes di Kedah, tiga kes di Pahang dan masing-masing dua kes di Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, masing-masing satu kes kematian dilaporkan di Perak, Terengganu dan Labuan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Kes kematian Covid-19 dilaporkan mula menunjukkan catatan tiga angka pada Jun lalu dan bulan ini.

Angka kematian tertinggi yang direkodkan adalah sebanyak 199 kes pada 21 Julai lalu.

Dalam tempoh setahun enam bulan ini juga menyaksikan negara kehilangan orang kenamaan termasuk Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Dr. Harussani Zakaria, 82, yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di unit rawatan rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada pukul 3 petang, 30 Mei lalu.

Turut dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan koronavirus adalah Timbalan Pengerusi Tetap UMNO yang juga Ketua Umno Bahagian Kepong, Allahyarham Datuk Seri Rizuan Ab. Hamid pada 20 Mei lalu.

Sebelum itu, pada 3 Februari lalu, bekas Ahli Dewan Unda­ngan Negeri Lembah Jaya yang juga Ketua UMNO Bahagian Ampang, Allahyarham Datuk Ismail Kijo meninggal dunia pada pukul 12.33 tengah hari di Hospital Su­ngai Buloh, Selangor akibat Co­vid-19.

Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu, nilai RT Malaysia adalah 1.11 dengan negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Terengganu iaitu 1.36.

Ia diikuti oleh negeri Kelantan (nilai RT 1.29) dan Kedah (nilai RT 1.23).

“Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Labuan dan Perlis,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI