JELI – Seorang warga emas melalui detik cemas apabila dia sesat di dalam hutan selama hampir tujuh jam ketika keluar mencari lembu ternakannya di Kampung Tebing Timbah, Bukit Selar di sini hari ini.
Mangsa, Abdullah Che Kob, 74, dipercayai tersesat ketika keluar untuk mencari lembunya di kawasan terbabit kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd. Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada anak mangsa apabila warga emas itu menghubunginya selepas tidak menemui jalan keluar dari hutan.
Katanya, seramai 15 anggota bomba, lima anggota polis dan penduduk kampung telah menjalankan operasi mencari mangsa di lokasi yang dilaporkan.
“Mangsa dilaporkan hilang ketika keluar mencari lembu miliknya. Apabila tidak menjumpai jalan keluar, dia terus menghubungi anak dan memaklumkan bahawa dirinya sudah sesat.
“Kita mengerakkan pencarian menggunakan sistem siren kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Jeli sebelum menemui mangsa dalam keadaan keletihan kira-kira pukul 3.15 petang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. – K! ONLINE