ATHENS – Sebuah muzium bawah laut pertama di Greece memberi peluang kepada orang ramai untuk menyelam sambil melihat pameran seni bina zaman kuno.
Muzium yang terletak di Peristera, Pulau Alonissos itu dibuka tahun lalu namun sambutan yang diterima agak menyedihkan berikutan sekatan Covid-19 yang dilaksanakan.
“Muzium ini merupakan gabungan menyelam dan arkeologi.
“Ia umpama menyelam ke dalam sejarah dan inilah yang membuatkan muzium tersebut istimewa dan unik,” kata pakar psikiatri, Hans-Juergen Fercher selepas selesai menyelam di muzium itu untuk kali keempat baru-baru ini.
Greece yang membuka semula industri pelancongannya menawarkan sumber pendapatan baharu yang lebih lestari.
Menteri Pelancongan, Harry Theoharis berkata Greece menjadikan aktiviti menyelam sebagai tarikan kepada pengunjung sejak undang-undang diluluskan bagi membolehkan pengunjung melawat kawasan sedemikian.
“Ini adalah konsep pelancongan yang menarik minat orang ramai sepanjang tahun dan mereka yang berminat boleh mencuba pengalaman sekali seumur hidup ini,” katanya. -AFP