PETALING JAYA – Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berada dalam keadaan baik dan menjalani kuarantin kendiri selepas disahkan positif Covid-19, semalam.
Melalui kenyataan di laman Facebooknya hari ini, Presiden UMNO itu berkata dia tidak mengalami sebarang gejala termasuk batuk atau selesema dan tetap menjalankan tugas seperti biasa secara dalam talian.
“Saya faham ramai tertanya-tanya mengenai keadaan saya selepas mendengar berita yang di luar jangkaan.
“Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan baik tanpa sebarang simptom yang tidak diingini,” katanya.
Ahmad Zahid disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan kelmarin menjelang Sidang Khas Dewan Rakyat yang bermula esok yang diwajibkan kepada semua Ahli Parlimen untuk menjalani ujian berkenaan sebagai langkah keselamatan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut berkata, iltizamnya untuk rakyat dan negara tidak sesekali goyah dengan apa yang berlaku.
“Saya akan terus berkhidmat dengan kapasiti yang ada. Doakan saya untuk terus berjuang.
“Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat walafiat dibawah lindungan Yang Maha Esa serta terhindar daripada jangkitan Covid-19 yang semakin memburuk di tanah air kita,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929