KLANG – Kegiatan memproses dan menyimpan air ketum di sebuah rumah di Kampung Delek di sini, yang aktif sejak empat bulan lalu tumpas selepas diserbu polis, kelmarin.
Selain merampas 101 bungkusan air ketum, serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu turut menahan dua suspek berusia 37 dan 42 tahun.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerusi hasil aduan dan maklumat awam.
Katanya, tangkapan pertama dilakukan di Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang dan merampas satu bungkusan air ketum.
“Soal siasat membawa penahanan suspek kedua di sebuah rumah yang dijadikan stor dan memproses air ketum di Kampung Delek,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, keseluruhan air ketum berkenaan dianggarkan bernilai RM1,010.
Ujar Shamsul Amar, suspek dipercayai aktif sejak empat bulan lalu dengan mengedarkannya di sekitar daerah ini.
“Polis percaya daun ketum diperoleh suspek daripada seorang lelaki tempatan di Pulau Indah dan usaha memburunya giat dijalankan,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929