fbpx

Ibu Syamel kritikal, sudah seminggu dikomakan di ICU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IBU Syamel (kanan sekali) kini sedang ditidurkan akibat kekurangan oksiden dalam badan.

PETALING JAYA – Tiada apa yang dapat dipohon selain doa oleh penyanyi terkenal Syamel untuk ibu kesayangannya, Wan Faaizah Karim, 55, supaya diberikan kesembuhan apabila terpaksa ditidurkan akibat kekurangan oksigen dalam badan.

Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd. Fodzly, 28, ketika dihubungi Kosmo! memberitahu, ibunya telah dimasukkan ke salah sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur sejak tiga minggu lalu dan kini ditempatkan dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Sudah tiga minggu ibu saya dimasukkan ke hospital dan kini terpaksa ditidurkan di ICU sejak seminggu lalu. Ibu terpaksa bergantung dengan alat bantuan pernafasan kerana kekurangan oksigen di dalam badan,” katanya.

Dalam pada itu, suami kepada penyanyi, Ernie Zakri itu menafikan bahawa ibunya terpaksa dimasukkan ke ICU akibat dijangkiti Covid-19.

Ujar Syamel, dia tidak tahu punca ibunya tiba-tiba jatuh sakit sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital memandangkan orang tuanya itu tidak pernah mengalami masalah kesihatan serius sebelum ini.

“Puncanya kami tidak tahu. Selama ini dia tidak pernah mengalami masalah kesihatan serius. Ini kali pertama dia dimasukkan ke wad sepanjang hidupnya,” jelasnya.

Katanya lagi, doktor mengambil keputusan untuk ibunya ditidurkan untuk menstabilkan keadaannya memandangkan golongan berusia seperti ibunya banyak menggunakan oksigen walaupun hanya dengan sedikit pergerakan.

“Kalau ibu boleh bernafas sendiri sekitar 40 peratus pun doktor kata sudah cukup baik,” katanya.

Pelantun lagu Lebih Sempurna itu juga memberitahu sehingga kini dia masih belum dapat melawat ibunya kerana terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) hospital yang tidak membenarkan mana-mana pelawat memasuki wad.

Pada masa sama, Syamel satu menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya meminta peminat untuk mendoakan kesejahteraan dan kesihatan ibunya supaya kembali pulih.

“Harap semua dapat mendoakan agar kesihatan ibu saya kembali pulih. Doakan juga kesejahteraannya,” kata Syamel.

Terdahulu, Syamel berkongsi kebimbangan dalam InstaStory apabila memaklumkan ibunya terpaksa dimasukkan ke ICU dan ditidurkan kerana mempunyai masalah kekurangan oksigen dalam badan. – K! ONLINE
-HABIS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI