fbpx

‘Bersekedudukan tanpa bersama’ semakin popular di Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Semakin ramai pasangan jarak jauh di Jepun mengamalkan gaya hidup ‘bersekedudukan tanpa bersama’. – Pixabay

TOKYO – Gaya hidup dikenali sebagai remote cohabitation atau ‘bersekedudukan tanpa bersama’ menjadi trend baharu yang semakin popular dalam kalangan pasangan muda di Jepun, lapor portal berita Oddity Central kelmarin.

Pada 21 Julai lalu, stesen televisyen tempatan, TV Asahi menerusi rancangan Hatori Morning Show menyatakan bahawa trend bersekedudukan tanpa tinggal bersama menjadi semakin popular dalam kalangan pasangan muda yang terpaksa tinggal berjauhan.

Mereka menggunakan tek­nologi maklumat seperti panggilan video percuma menerusi aplikasi Skype atau Line untuk kekal berhubung dan melakukan aktiviti bersama-sama biarpun tinggal berasingan.

Sepasang kekasih dalam rancangan itu berkata, mereka akan mengaktifkan aplikasi tersebut sepanjang malam supaya boleh ‘tidur dan bangun bersama’ serta hanya menutupnya apabila bekerja.

Cara itu menjadikan pasangan kekasih berasa dekat biarpun mereka tidak tinggal sebumbung.

Bersekedudukan tanpa bersama tidak memerlukan pasangan untuk sentiasa berkomunikasi dan mereka boleh meneruskan aktiviti harian seperti biasa.

Bagi pasangan ini, cukup sekadar mereka mendengar bunyi aktiviti harian seperti bunyi alat pengering rambut pasangan atau bunyi pasangan membasuh pinggan untuk berasa tenang.

Trend itu sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Jepun, namun pandemik Covid-19 menjadikan ia semakin popular.

Biarpun diterima baik oleh pasangan jarak jauh, gaya hidup itu turut menerima maklum balas negatif daripada pelbagai pihak yang menganggap kaedah itu sebagai satu bentuk pengawasan terhadap pasangan.

“Saya rasa ia seronok jika anda baru mula berpacaran, namun apabila perasaan itu semakin pudar, kekerapan berhubung itu boleh menyebabkan pasangan berpisah.

“Saya fikir hubungan itu akan menjadi satu bentuk pengawasan,” kata penyampai televisyen TV Asahi, Toru Tamagawa. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI