SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menegaskan tidak sesekali berkompromi dengan sebarang kesalahan rasuah dan penyelewengan kuasa melibatkan kakitangan awam di negeri ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau sedia maklum mengenai penahanan beberapa pegawai perkhidmatan awam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan isu rasuah.
“Seperti yang pernah saya umumkan ketika Majlis Mahabbah Ramadhan pada 23 April lalu, kerajaan negeri serius dan tegas melawan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Malah, kita sedang mengikuti rapat beberapa jabatan berkenaan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang didapati bersalah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, kata Amirudin, sepanjang siasatan dijalankan oleh SPRM atau pihak berkuasa,tiada sesiapa dianggap bersalah sehingga terbukti bersalah selaras dengan prinsip ‘Rule of Law’.
“Justeru, kerajaan negeri menghormati proses yang sedang berjalan dan kekal menjunjung prinsip ketelusan,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan dua bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran di Selangor direman enam hari bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan di kawasan masing-masing.
Turut direman tempoh sama adalah seorang kontraktor berusia 42 tahun kerana disyaki merasuah kedua-dua suspek bagi membolot projek yang ditawarkan di dua majlis perbandaran yang diketuai kedua-dua YDP tersebut. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929