KOTA BELUD – Polis menahan seorang lelaki ekoran tindakannya seakan mencabar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pintasan pada Khamis lalu.
Lelaki yang memandu Proton Wira terbabit dirakam bersahaja melanggar garisan kuning yang dipasang polis sebelum dialihkan dengan tangan di atas bumbung keretanya untuk keluar dari kawasan berkenaan.
Kejadian itu kemudiannya menjadi tular di media sosial sehingga menarik perhatian orang awam.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, kawasan Kampung Pintasan diwartakan sebagai kawasan PKPD bermula 9 Julai hingga 22 Julai lalu.
“Suspek bertindak melepasi kawasan PKPD di Kampung Pintasan dengan melanggar garis kuning sebelum mengangkat tali garisan polis menggunakan tangannya dilihat seolah-olah mencabar tindakan pihak berkuasa.
“Tindakan suspek itu turut dibimbangi boleh mengundang risiko penularan wabak Covid-19 di kawasan sekitar.
“Bagaimanapun, pasukan polis berjaya mengesan suspek dan terus menahannya untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Sahimi menyatakan hasil siasatan lanjut mendapati suspek memandu dari rumahnya yang terletak dalam kawasan PKPD dan keluar merentasi garisan polis bagi tujuan mengisi minyak.
Menurut beliau, stesen minyak yang dilawati berkenaan adalah terletak di luar kawasan PKPD iaitu di Kampung Tamau, di sini.
“Oleh itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Per 17 Peraturan – Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah – Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 2) 202,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929