fbpx

Beratus kali jawab soalan sama – Lizzy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELIZABETH TAN

ELIZABETH TAN, nama yang tidak lagi asing dalam dunia seni tempatan. Selain terkenal dengan karakter manjanya, dia sering mengundang sensasi dengan imej seksi di mata umum yang tanpa sengaja barangkali menjadi bahan tontonan segelintir lelaki miang. Itu antara penyebab si manis yang mesra dibahasakan Lizzy tidak pernah sunyi.

Lapan tahun bergelar penyanyi dan pelakon, keampuhan nama Elizabeth bermula dengan pencapaian pertama yang diraih dalam Anugerah Planet Muzik 2015.
Trofi Artis Baharu Terbaik yang dijulang cukup untuk memberi pengaruh besar buatnya yang diperkenalkan dengan lagu Knock Knock.

Selepas itu, bermulanya pelayaran populariti Elizabeth bersulam sensasi. Perwatakan manja dan seksinya antara yang mudah mengundang perhatian.
Inilah yang dimaksudkan tidak pernah sunyi. Saban waktu ada sahaja cerita tentangnya, jika bukan kerana produk seni, pasti mengenai penampilannya, khususnya dalam media sosial yang sering menjadi kecaman ramai

Namun, pendirian Lizzy yang enggan mengambil tahu semua kata-kata negatif daripada netizen harus dipuji. Dia sudah lali dan menganggap perkara tersebut tidak akan pernah berhenti walaupun sekeras mana cuba ditegah.

MENGAKUI masih tidak lagi tinggal sebumbung dengan suaminya, Lizzy turut memasang impian untuk memiliki cahaya mata dalam tempoh lima tahun akan datang

Tidak adil wanita dinilai dengan cara berpakaian

Kali ini, pemilik nama Elizabeth Tan Su Mei ditanya lagi, adakah hatinya terusik tatkala sering menjadi bahan usikan nakal lelaki miang dalam media sosial.

“Sudah beratus kali saya jawab soalan ini. Jawapannya, hati saya tidak tersentuh mahupun terasa walaupun sebesar kuman.

“Saya tidak punya hak untuk mengawal atau menghukum komen yang dibuat terhadap gambar yang dimuat naik.

“Harapnya isu ini boleh ditutup dan tiada lagi cerita berbangkit,” katanya mencuba untuk setegas mungkin.

Tidak cukup dengan itu, penyanyi berusia 28 tahun itu pernah dilabel simbol seks disebabkan foto-foto yang sering dikongsi dalam media sosial.

Biarpun menyedari hal tersebut, dia tidak mahu bertindak serius untuk menghalang dirinya daripada terus dilabel sebegitu.

“Saya terfikir mengapa saya diberikan gelaran sebegitu? Kenapa perlu merendahkan kaum wanita hanya kerana cara dia memakai pakaian yang terdedah, tidak adil sebenarnya.

“Jika benar foto yang saya kongsi dikategorikan sebagai kandungan lucah, sudah lama akaun media sosial saya telah disekat kerana melanggar polisi tetapi sehingga kini semuanya okey sahaja.

“Konklusinya, saya memang tidak mampu untuk menutup mulut semua orang dan hanya terus menjadi diri sendiri,” katanya.

Ujarnya, sekiranya ada pihak masih kurang gemar dengan imej yang ditonjolkannya, dia meminta untuk mana-mana individu tidak lagi mengikuti atau menyekat akaun Instagramnya.

“Sekiranya kandungan media sosial saya keterlaluan pada mata orang lain, nasihat saya ialah berhenti mengikuti atau menyekat akaun saya. Tak perlulah bergaduh, kerana saya okey sahaja,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

BOSAN seringkali diasak dengan kritikan imej seksinya, pelakon drama Senafas Rindu itu mahu menutup cerita berkenaan isu tersebut – WARNER MUSIC MALAYSIA

Anak? Lima tahun lagi

Lumrah pasangan yang sudah berkahwin, pasti akan diasak dengan pertanyaan tentang cahaya mata.

Sama juga dengan Lizzy yang turut memasang impian untuk menimang zuriat hasil perkongsian hidup dengan seorang doktor muda, Ding Siew Jim.

“Saya merancang untuk memiliki anak lima tahun lagi iaitu pada usia 32 tahun tetapi suami pula mahukan cahaya mata dua atau tiga tahun lagi.

“Tidak boleh nak kata lebih-lebih tentang perancangan untuk mendapatkan anak. Apa pun, kami hanya boleh merancang dan tuhan yang akan menentukan segala perjalanan,” terang pelakon filem Misteri Dilaila itu.

Ditanya tentang kehidupannya selepas melayari bahtera perkahwinan, Lizzy memberitahu semuanya masih sama.

“Bagi saya, semuanya masih sama seperti kehidupan zaman bujang.

“Saya dan suami masih belum tinggal sebumbung. Sepanjang tempoh pandemik ini pun hubungan kami adalah pasangan jarak jauh,” jelasnya ringkas.

KARIER Lizzy tidak terhenti disebabkan pandemik. Dia kini dalam proses menghasilkan single terbaharu yang dijangka terbit sekitar hujung tahun nanti.

Hati terusik

Berkongsi mengenai inisiatifnya membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19, anak bongsu daripada tiga beradik itu mengakui tersentuh dengan keluhan segelintir rakyat Malaysia.

Rintihan orang ramai tentang kesukaran serta kekangan untuk meneruskan hidup membuka hatinya untuk menghulurkan bantuan kepada golongan terjejas.

“Kalau boleh, saya mahu membantu sesiapa sahaja yang sedang mengalami kesusahan.

“Semua rakyat negara ini sedang melalui satu tempoh getir, termasuk saya. Jadi, kita seharusnya saling tolong-menolong untuk meringankan beban antara satu sama lain,” katanya yang kini muncul dalam filem Mat Bond Malaya arahan Nabil Ahmad.

Kongsi Lizzy, dia hanya memberikan bantuan berbentuk makanan dan sedikit wang tunai.

“Saya cuma buat ikut kemampuan sendiri. Semoga bantuan daripada saya yang tidak seberapa itu dapat meringankan beban mereka,” katanya menutup perbualan.

SAMA seperti orang lain, Lizzy juga popular dengan lagu Police Entry itu berdoa agar pandemik Covid-19 yang masih tidak berkesudahan ini segera berakhir.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI