REMBAU – Sukar bagi seorang ibu untuk melupakan keletah anak bongsunya bergelak ketawa sebelum meninggal dunia dipatuk ular berbisa di Kampung Solok Jelawai Hilir, Seberang Batu Hampar di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa, Muhammad Danial Iqwan Muhammad Hafiz, berusia setahun lima bulan disahkan meninggal dunia selepas empat jam dirawat di Hospital Rembau.
Ibu mangsa, Nurul Diana Awang, 33, berkata, ketika kejadian, Muhammad Danial sedang bermain dengan abangnya berusia tiga tahun di dalam bilik tidur mereka.
“Saya juga berada dalam bilik itu. Ketika sedang leka mereka bermain, tiba-tiba terdengar jeritan Muhammad Danial. Saya terus mengangkatnya dan ternampak kesan patukan ular di tapak tangan.
“Saya mula menyuluh sekitar bilik dan ternampak kepala ular berwarna hitam di dalam lubang yang terdapat berhampiran almari bilik kami,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini semalam.
Berita berkaitan: Bayi lelaki maut dipatuk ular
Nurul Diana memberitahu, dia kemudian meminta bantuan adiknya untuk menghantar Muhammad Danial ke hospital.
Bagaimanapun, katanya, kira-kira pukul 1 pagi doktor memaklumkan anak bongsu daripada lima beradik itu meninggal dunia.
“Beberapa hari sebelum kejadian, Muhammad Danial ada meminta untuk makan durian, manggis dan rambutan, mujurlah saya sudah tunaikan permintaannya.
“Dia seorang yang sangat cerdik dan sering menghiburkan dengan gelak tawa serta keletahnya,” ujarnya menangis.
Jenazah Muhammad Danial dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Seberang Masjid Lama, Seberang Batu Hampar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan, Hazri Mohamad berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan patukan ular berbisa.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.