MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersama-sama rakyat Malaysia mengikuti secara dekat penampilan serta aksi bertenaga atlet-atlet negara yang berjuang pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 semalam.
Antara atlet yang mengambil bahagian ialah dalam sukan badminton melibatkan acara beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran selain gimnastik artistik serta renang.
Paling mencuri tumpuan adalah aksi beregu lelaki yang tampil mendebarkan, namun penuh bertenaga ditunjukkan oleh beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika menyingkirkan pasangan beregu Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seungjae menerusi keputusan 24-22, 21-15 di Musashino Forest Sport Plaza.
Kesungguhan beregu muda negara pada penampilan sulung Sukan Olimpik Tokyo 2020 mendapat pujian serta ucapan tahniah daripada Reezal Merican yang turut dikongsikan beliau menerusi Instagram, Twitter dan Facebook rasminya sejurus tamat perlawanan.
“Mantap!! Berdebar, melihat aksi Aaron Chia & Soh Wooi Yil (kedudukan ke-9 dunia) sebentar tadi, mengalahkan beregu Korea, Choi Solgyu & Seo Seungjae (kedudukan ke-8 dunia). Tahniah Aaron dan Wooi Yik!,” ciapan Reezal Merican pada akaun Facebook rasminya.
Reezal Merican turut memuji aksi ditampilkan oleh beregu wanita negara, Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan meskipun terpaksa akur dengan kehebatan beregu lawan dari Indonesia apabila tumpas dengan keputusan 21-14, 21-17.
“Ini merupakan aksi pertama Mei Kuan-Meng Yeang (ranking ke-11 dunia) di pentas Olimpik. Manakala, beregu Indonesia (menduduki ranking ke-6 dunia) pernah menduduki rangkin ke-2 dunia.
“Sama-sama kita doakan semoga Mei Kuan dan Meng Yean mendapat rentak lebih baik,” ujarnya menerusi Instagram.
Dalam pada itu, Reezal Merican masih menaruh keyakinan buat beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying masih mempunyai harapan untuk mara ke pusingan seterusnya meskipun tewas kepada lawan dari Hong Kong.
“Tidak dapat dinafikan, inilah perlawanan yang paling mendebarkan hari ini. Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon telah memberikan 100 peratus. Jangan putus asa! Lebihkan fokus pada perlawanan seterusnya,” kata Reezal Merican pada Instagramnya.
Selain sukan badminton, Reezal Merican turut mengucapkan syabas buat atlet gimnastik artistik lelaki negara, Jeremiah Loo Phay Xing di atas kesungguhan, keyakinan serta keberaniannya pada penampilan sulung di Olimpik.
“Jeremiah telah menyuarakan debaran yang dirasainya sewaktu melihat aksi-aksi atlet senior. Namun, Jeremiah tidak menjadikan perasaan itu sebagai satu kelemahan dan terus konsisten di sebalik penalti -4 sewaktu apparatus rings,” kata Reezal Merican.
Selain Jeremiah, seorang lagi gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi dijadualkan untuk membuat penampilan sulungnya esok pada pusingan kelayakan all around wanita. K! ONLINE