KUANTAN – Nasib lapan beradik yang menjadi yatim piatu dalam sekelip mata selepas kematian ibu bapa mereka akibat dijangkiti Covid-19 mendapat perhatian kerajaan negeri yang menawarkan rumah untuk mereka sekeluarga.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri menawarkan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 secara percuma kepada lapan beradik berkenaan.
“Rumah berkenaan akan dibina di kampung asal arwah ibu dan datuk serta nenek mereka di tanah rancangan Felda Kota Gelanggi Dua di Jerantut.
“Sementara menunggu rumah berkenaan siap, rumah sewa sementara akan disediakan dan dibiayai oleh kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, kisah lapan beradik itu disiarkan Kosmo! yang kemudian mendapat perhatian ramai selepas mereka menjadi anak yatim piatu dalam sekelip mata apabila ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.
Arwah bapa mereka, Benyajeed Bernie, 45, meninggal dunia pada 16 Julai lalu, disusuli ibu mereka, Noraini Ibrahim, 43, pada 18 Julai dan mereka lapan beradik berusia empat hingga 19 tahun kini tinggal bersama ibu saudara di Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, Yayasan Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) akan membiayai pendidikan mereka yang masih bersekolah, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang sedia menyenaraikan mereka sebagai penerima bantuan bulanannya. -K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929