BEREGU lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan menggalas cabaran negara pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan D menentang wakil Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seungjae yang dijadualkan berlangsung 5 petang ini.
Perlawanan itu boleh dianggap sebagai aksi wajib menang buat Aaron-Wooi Yik bagi mencerahkan peluang mereka untuk melangkah ke peringkat suku akhir.
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik pernah menewaskan beregu yang berada pada ranking kelapan dunia itu sebanyak dua kali dalam empat pertemuan sebelum ini.
Dalam pada itu, beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga akan memulakan aksi pada Olimpik kali ini apabila dijadualkan bertemu pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet bagi saingan Kumpulan D pada pukul 6.20 petang. – K! ONLINE