JOHOR BAHRU – Polis akan mengambil keterangan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon serta beberapa lagi individu lain yang didakwa mengingkari Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila menyertai ‘kenduri ketupat’ baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keterangan itu bagi melengkapkan kertas siasatan yang telah dibuka mengikut Peraturan 18 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Polis sudah buka kertas siasatan, kita akan panggil YB Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan mereka yang terlibat, difahamkan dia bersama isteri dan anaknya serta pemilik sebuah villa di Rengit, Batu Pahat.
“Kita akan panggil untuk diambil keterangan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Terdahulu tular di laman sosial gambar Ahli Parlimen Batu Pahat bersama dua wanita sedang menikmati jamuan di sebuah ladang pertanian di Rengit, Batu Pahat.
Pada hujung bulan lalu, Mohd. Rashid juga terpalit dengan isu tular kerana makan durian beramai-ramai dalam sebuah kebun durian yang juga berlaku di Batu Pahat.
Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata, kertas siasatan berhubung isu kenduri durian itu telah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara pada 14 Julai lalu dan masih menunggu arahan lanjut untuk tindakan seterusnya.
“Saya juga dapat komen dalam Facebook dan sebagainya, yang mempertikaikan tindakan polis yang mendakwa ‘double standard’, kalau orang awam terus diberi kompaun, kalau melibatkan VIP kita buka kertas siasatan.
“Saya nak beri penerangan sedikit mungkin kita salah faham, bagi kes-kes yang kita keluarkan saman ini melibatkan kes yang ‘direct’ terus kita pergi buat pemantauan kita dapati ada pelanggaran, kita boleh keluarkan saman terus kepada pesalah tersebut.
“Tetapi dalam kes-kes tertentu bukan melibatkan VIP sahaja, benda yang diviralkan dalam media sosial, kita perlu menjalankan siasatan, itu yang diviralkan kita kena sahkan dahulu, betul ke gambar itu gambar baharu, adakah gambar itu gambar diedit, bila gambar diambil, itu yang kita terpaksa buka kertas siasatan,”katanya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929