KUALA LANGAT – Seorang pemancing dikhuatiri lemas apabila terjatuh ke dalam laut selepas bot dinaiki dipukul ribut di persiaran laut Kanchong Laut Gold Coast, Tanjung Sepat di sini petang semalam.
Mangsa, K. Thineswaran, 27, dilaporkan hilang kira-kira pukul 7.53 malam ketika menjaring ikan bersama rakannya.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor@Saleh berkata, rakan mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan nelayan di sekitar kawasan tersebut.
“Operasi pencarian kemudiannya dilakukan rakan mangsa dan nelayan namun gagal menemui Thineswaran.
“Siasatan dan tindakan mencari mangsa yang hilang masih diteruskan bersama pihak bomba,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor seramai tujuh pegawai dan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pukul 7.53 petang
“Pihak bomba yang tiba di lokasi kejadian membuat pencarian di pesisir pantai dan membuka pos kawalan bomba.
“Ketua balai berada di lokasi dan ketua zon telah dimaklumkan dengan sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” jelasnya. – K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929