Oleh NOR AZIHAN MD. GHAZALI
SHAH ALAM – Selangor mencatatkan kutipan cukai pelancongan sebanyak RM21.8 juta pada tahun lalu.
Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, pengiraan cukai itu termasuk kos yang dikenakan kepada pelancong yang menginap di hotel dan juga kos yang dimasukkan dalam perkhidmatan.
“Cukai tersebut bertujuan untuk menjana dana dalam usaha menyokong pembangunan industri pelancongan di negeri ini.
“Cukai pelancongan digunakan bagi proses mengindahkan dan mencantikan kawasan tumpuan pelancongan seterusnya memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengunjung,” katanya pada sidang akhbar kejohanan Golf Classic di Kota Permai Golf dan Country Club di sini hari ini.
Turut hadir Pengurus Besar Liberty Golf Services, Eushen Ng.
Ketika ditanya berhubung kadar perolehan cukai untuk negeri ini selepas sektor pelancongan terjejas akibat Covid-19, beliau menjelaskan cukai pelancongan dikecualikan sehingga Jun tahun depan.
“Saya difahamkan pengecualian cukai oleh kerajaan itu sebagai inisiatif dalam usaha mengggalakkan pelancongan domestik yang turut terjejas ekoran wabak itu.
“Cukai kita masih bergantung kepada arahan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia. Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masih mengutip cukai daripada pemain industri pelancongan,” katanya. -K!ONLINE