PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya mengumpul RM3.26 juta menerusi Tabung Warga TNB Prihatin (WTP) bagi membolehkan lebih ramai golongan rentan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 menerima manfaat.
Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keprihatinan warga kerja TNB untuk berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan terserlah dengan jumlah kutipan melebihi sasaran awal.
“Warga TNB amat peka terhadap golongan yang dilanda pelbagai kesusahan dan tertekan akibat pandemik Covid-19 termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan bagi menyara keluarga.
“Justeru, Pengurusan Tertinggi dan Presiden Kesatuan TNB bersepakat menubuhkan tabung berkenaan sebagai satu kaedah bagi warga kerja TNB bersatu mengumpul sumbangan secara ikhlas dan sukarela.
“Alhamdulillah, dengan nilai keprihatinan warga kerja TNB, sejumlah RM1.63 telah berjaya dikumpul secara sukarela. Sebagai perangsang kepada usaha murni ini, kami Ahli Lembaga Pengarah sebulat suara bersetuju untuk menggandakan jumlah kutipan menjadikan jumlah tabung meningkat kepada RM3.26 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Menurut Mahdzir selain Tabung WTP, TNB sejak awal tahun ini juga telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada lebih 10,000 golongan B40 dengan peruntukan hampir RM9.5 juta termasuk membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, pengagihan bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku.
TNB juga tambahnya turut sama menjayakan program Bakul Prihatin Negara yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tajaan berjumlah RM2 juta.
“Program membabitkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima yang terkesan akibat pandemik Covid-19 mendapat tajaan daripada beberapa syarikat berkaitan kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, wakil pengurusan, Project Director (PMO Electric Vehicle) Bahagian Strategy Venture, Ir. Mohd Junaizee Mohd Noor berkata, warga kerja TNB berterima kasih kepada Lembaga Pengarah TNB atas kelulusan geran tambahan tersebut.
“Kelulusan geran sepadan dari Lembaga Pengarah ini sesungguhnya menzahirkan nilai keprihatinan yang tinggi dari warga kerja TNB dari segenap lapisan tidak kira di mana pun kita berada. Semoga sumbangan ikhlas kita semua mendapat keberkatan,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929