SEJAK kebelakangan ini, penulis banyak menghabiskan masa mendengar radio sama ada di rumah ataupun ketika berada dalam kereta menuju ke pejabat.
Dalam banyak bebelan penyampai radio, terdapat sebuah lagu yang sering berkumandang dan mudah melekat di halwa telinga berjudul Biru Malam nyanyian Amir Masdi dan Chubb-E.
Biarpun karya ciptaan sepenuhnya Chubb-E tersebut bukanlah lagu baharu, Biru Malam cukup menangkap tumpuan. Bukan hanya memiliki kekuatan melodi yang sangat indah, terkandung juga nukilan lirik bermesej positif Biru Malam begitu menjentik sanubari setiap pendengar.
Pesona melodi, lirik
Bahagian intro Biru Malam sahaja sudah cukup mempesona.
‘Walau senyum indah cahaya, bagai bulan kala gelita’. Frasa itu bukan hanya duduk pada posisi melodi yang ‘mencengkam’, dari segi penulisan lirik, pemilihan perkataannya juga mudah berhubung dengan sesiapa yang sahaja.
Apatah lagi, pada saat kebanyakan daripada kita sedang bertarung dengan permasalahan Covid-19, waktu malam merupakan bahagian manusia memberi refleksi terhadap yang berlaku pada siang hari.
Itu satu kenyataan rawak daripada penulis yang cukup terkesan dengan apa yang berlaku kepada dunia sekarang, baik dari segi sosial, politik, ekonomi dan bahkan mental.
Kita boleh mengukir senyuman dan berpura-pura dunia ini tidak ‘sakit’, namun kesannya pada diri, hanya kita dan Yang Maha Esa tahu apa sebenarnya berlaku dan apa yang sedang bergejolak.
Selain dari segi melodi dan lirik yang secara peribadi layak mendapat markah A, paduan vokal melibatkan Amir dan Chubb-E juga begitu mengagumkan. Asyik!
Paduan vokal kelas A
Kolaborasi listrik yang saling melengkapi antara satu sama lain Amir dan Chubb-E boleh diibaratkan seperti mentega dan bawang putih dalam misi melengkapi juadah ‘creamy garlic pasta’.
Terdapat kejelasan atau clarity dalam vokal Chubb-E yang tidak boleh disangkal dan memerlukan tumpuan arus perdana. Buat Amir, apa yang dilontarkan daripada kotak suaranya memberi maksud kekuasaan atau pengaruh. Sudah tiba waktunya dua anak seni itu diangkat.
Maksudnya, mereka layak berdendang dalam acara-acara besar supaya peminat atau pendengar tahu siapa yang berkualiti dalam industri seni negara yang tidaklah sebesar mana ini.
Tidak salah Biru Malam juga diberikan ruang dan peluang untuk menonjol dalam acara berprestij seperti Anugerah Juara Lagu. Kalau boleh lagu ini dicalonkan dalam Muzik-Muzik, silalah berbuat demikian. Kalau sudah menerima pencalonan, sokong dan undi agar karya sebagus ini mampu menapak ke acara ulung negara.
Bahagian rap Chubb-E pada hujung lagu juga sangat berkesan. Tambah berkesan apabila Amir ‘memasukkan’ bisikan harmoninya. Kerjasama itu bagaikan seni menggelecek bola dan disudahkan sempurna ke tiang gol. Padu dan tahniah!