fbpx

Saya perlahan-lahan berubah – Scha Elinnea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SCHA ELINNEA

PETUNJUK boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Barangkali hal sama sedang dilalui si cantik Scha Elinnea apabila tergerak hati untuk memadam kebanyakan foto seksi, bahkan mencolok mata ramai dalam media sosial selepas ditegur netizen.

Khalayak tahu, pemilik nama lengkap Natasha Mohamed Mubeen itu sering dilabelkan dengan gelaran tidak molek natijah keberanian beraksi seksi dalam Instagram.

Tidak cukup dengan itu, dia juga pernah dituduh terjebak dengan kerja-kerja tidak senonoh hanya kerana sering berpakaian mencolok mata.

Sedar khilaf dirinya, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu bertindak memadam banyak koleksi foto panasnya, barangkali sebagai titik mula Scha yang baharu.

BIARPUN namanya masih kurang dikenali ramai, anak kelahiran negeri Kedah itu sentiasa optimis dan percaya rezeki akan berpihak kepadanya satu hari nanti.
– MOHAMAD IQBAL ROSLI

Padam foto seksi

Tuturnya, tindakan tersebut digerakkan naluri yang berasakan sudah sampai waktu untuk berubah ke jalan hidup yang lebih baik.

“Tidak dinafikan memang saya menerima banyak kiriman mesej (DM) dalam Instagram yang marah dan tegur tentang penampilan seksi. Apa yang boleh saya katakan kepada mereka, doakan yang baik-baik.

“Alhamdulillah, teguran mereka saya terima dan jika anda semua sedar, saya sudah memadam banyak foto seksi dalam Instagram. Saya juga manusia yang sentiasa buat salah, untuk berubah juga akan ambil masa, doakan saya ya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Tegasnya, keputusan tersebut dilakukan atas kesedaran sendiri selain tersentuh apabila ada pihak lain iaitu peminat yang menyuarakan hasrat untuk melihat dirinya menjadi wanita yang lebih baik.

“Saya tinggal seorang diri. Kadang-kadang saya bercakap dengan diri sendiri sampai bila mahu hidup dengan imej begini.

“Kepada pengikut Instagram, jika mahu menegur biarlah dengan cara yang sepatutnya. Hati saya akan mudah cair dan lembut jika teguran tersebut dilakukan dengan cara yang betul seperti ini,” ujarnya.

Kurang seksi, namun ‘laku keras’, persoalan tersebut pantas meletuskan tawa kecil Scha. Masakan tidak, jarang sebenarnya seseorang pelakon baharu sepertinya muncul dengan tiga buah drama serentak di dua stesen televisyen.

TIDAK mahu lagi terlalu mengejar populariti, fokus Scha kini adalah menjaga kualiti lakonan berbanding mendedahkan diri dengan cerita tidak manis yang merosakkan nama.

Tiga drama serentak

Tiga drama tersebut adalah Hatimu Sedingin Salju, SiTik Tok siaran TV3, manakala Dayang Senandung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ujar Scha, dia juga tidak menyangka semua drama lakonannya disiarkan serentak ketika ini.

“Alhamdulillah ini rezeki. Walaupun pada mata orang lain nampak biasa tetapi bagi saya, rasanya seperti menang anugerah.

“Sebelum ini, saya kurang dikenali tetapi sekarang sebaliknya yang berlaku. Tiada kata yang boleh saya ucapkan lagi, hanya mampu bersyukur dan terus bekerja keras,” katanya.

Bercerita mengenai ketiga-tiga drama, Scha memberitahu setiap satunya mempunyai cabaran yang berbeza.

“Jika ditanya watak mana yang lebih mencabar, jawapan saya semua.

“Walaupun semua karakter yang dimainkan seakan-akan sama, tetapi susah sebenarnya lebih-lebih lagi untuk membawa watak perempuan gedik.

“Tidak kisahlah sukar atau tidak, bagi saya ini peluang untuk melebarkan sayap dan menonjolkan bakat kepada umum,” tutur wanita berusia 22 tahun itu.

SCHA menjelaskan watak gedik dalam Hatimu Sedingin Salju bukan perkara mudah untuk dilakukan kerana karakter sebegitu jauh berbeza daripada keperibadian sebenar dirinya.

Tidak kisah sekiranya ada yang mengatakan dia lambat mengecap populariti, Scha yang sudah bertapak dalam industri seni sejak 2018 percaya dengan rezeki Tuhan.

Baginya, biarlah merangkak untuk berjaya daripada terus terbang, namun gagal bertahan lama.

“Biarlah orang nak cakap saya perasan popular, asalkan saya sedar di mana bumi berpijak.

“Tak mengapa bermula perlahan, asalkan apa yang diberikan kepada penonton meninggalkan impak.

“Lebih baik saya mengejar kualiti berbanding populariti yang tidak tahu akan bertahan sampai bila,” ujarnya yang semakin dikenali sejak membintangi drama Perempuan Tanpa Dosa arahan Michael Ang.

Bercerita lanjut mengenai cabaran membawa watak perempuan gedik iaitu Melissa dalam drama Hatimu Sedingin Salju, Scha memberitahu terdapat kesukaran untuk menjayakan karakter tersebut.

“Nampak mudah untuk menjadi perempuan gedik tetapi sebenarnya agak susah. Itu bukan karakter diri saya yang sebenar dan transisi untuk jadi gedik agak payah,” katanya.

Kecaman. Itu satu lagi perihal yang harus ditelan mana-mana pelakon yang memegang watak antagonis dalam sesebuah karya.

Sama juga situasi yang dilalui Scha apabila dia dihujani mesej kecaman netizen dalam media sosial.

“Ramai yang geram, benci dan menyampah dengan lakonan saya sebagai Melissa.

“Marah tandanya saya berjaya melaksanakan tugas tersebut dengan baik bukan?,” jelasnya yang bakal muncul memegang watak heroin dalam sebuah drama dan bakal sekali lagi bergandingan dengan aktor Hisyam Hamid.

PENGALAMANNYA bertemu dengan sekumpulan keluarga yang hidup susah baru-baru ini mengajar Scha untuk sentiasa bersyukur dengan kesenangan yang dimiliki pada hari ini.

Pentingnya wang simpanan

Menyentuh tentang kehidupannya sepanjang tempoh pandemik Covid-19, wanita kecil molek itu bersyukur kerana tidak terlalu terkesan atau terjejas teruk, terutama daripada aspek kewangan.

Katanya, disiplin menyimpan wang antara faktor yang menyelamatkan dirinya ketika anak seni tidak dibenarkan bekerja ketika ini.

“Syukur kehidupan saya tidak terlalu terjejas kecuali kerja-kerja penggambaran yang banyak tertangguh. Jika soal kewangan, semuanya masih okey malah bisnes juga berjalan dengan baik

“Ketika inilah, saya lihat pentingnya untuk mempunyai wang simpanan. Nasib baik saya bukan jenis seorang yang boros dan masih beringat untuk menyimpan,” katanya yang aktif menjalankan bisnes produk kesihatan rambut.

Untuk rekod, Scha juga pernah berkongsi kegembiraan apabila berjaya memiliki sebuah kereta jenama mewah jenis Mercedes Benz AMG-A180 sekitar Mei lalu hasil wang tabungan sendiri.

Tidak hanya goyang kaki di rumah, Scha juga aktif menghulurkan bantuan kepada golongan terjejas.

“Saya dan beberapa orang kawan ada mengumpul duit untuk dijadikan dana membeli barangan keperluan untuk keluarga yang susah.

“Kami telah ke beberapa lokasi bagi memberi sumbangan. Sayu sangat melihat masih ada yang tidak cukup wang untuk membeli makanan.

“Situasi sebegitu telah membuka mata dan buat saya sedar untuk sentiasa bersyukur dengan setiap rezeki yang dimiliki ketika ini,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI