fbpx

Angka kematian dijangka menurun pada September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Jumlah kematian akibat Covid-19 dijangka menurun walaupun kes jangkitan harian diramal mencapai kemuncak penularan sebanyak 24,000 kes sehari pada September ini.

Jangkaan itu adalah berdasarkan kadar vaksinasi kira-kira 500,000 suntikan sehari yang secara tidak langsung mampu me­ngurangkan kesan serius dalam kalangan pesakit Covid-19.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Epidemiologi Jabatan Perubatan Kesihatan & Pencegahan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Noran Naqiah Hairi berkata, jika ramai individu telah lengkapkan dua dos suntikan, maka kes yang dimasukkan ke hospital termasuk unit rawatan rapi (ICU) juga akan berkurangan.

“Kita tengok pada pengalaman negara lain termasuk negara-negara di Eropah, walaupun va­rian baharu masuk dalam populasi mereka dan menyebabkan pe­ningkatan kes, angka kematian tidak meningkat.

“Kita tidak mungkin dapat hentikan jangkitan kerana vaksin Covid-19 adalah bertujuan me­ngurangkan kesan serius kepada mereka yang dijangkiti jangkitan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan semalam, angka kematian yang direkodkan adalah 144 kes, menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Malaysia adalah seramai 7,718 orang.

Menurut Noran Naqiah, kadar jangkitan yang masih tinggi ketika ini adalah kerana jumlah penduduk yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin masih di bawah paras 20 peratus.

Menurut beliau, penurunan kes akan berlaku apabila lebih 70 peratus populasi telah lengkap suntikan dua dos.

“Kita kena faham, selepas te­rima dua dos suntikan pun perlu tempoh dua minggu sebelum seseorang mencapai imuniti se­perti diharapkan,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI