KUALA TERENGGANU – Keghairahan empat bot nelayan Vietnam mengaut hasil laut di perairan negara terbantut apabila ditahan Maritim Malaysia (APMM) kelmarin.
Kesemua bot nelayan Vietnam itu ditahan Kapal Maritim (KM) Nusa ketika berada pada kedudukan antara 91 dan 95 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu pada pukul 5 petang.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kehadiran bot nelayan Vietnam tersebut berjaya dikesan oleh pusat operasi Maritim Malaysia di sini sebelum dimaklumkan kepada KM Nusa yang sedang mengadakan rondaan penguatkuasaan.
“Seramai 48 nelayan Vietnam berusia dalam lingkungan 16 hingga 68 tahun yang berada di dalam empat bot itu telah ditahan.
“Pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah,” katanya di sini hari ini.
Muhammad Suffi berkata, pemeriksaan juga mendapati kesemua bot nelayan tersebut tidak pernah mendaftar dengan Jabatan Perikanan.
Tambah beliau, APMM juga menyita kesemua bot, hasil laut, bekalan minyak diesel dan peralatan menangkap ikan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM6 juta.
“Sewaktu ditunda ke Jeti Pejabat Maritim Malaysia di sini, seorang tekong salah sebuah bot nelayan itu bertindak nekad terjun ke laut untuk meloloskan diri.
“Begitupun usahanya gagal apabila berjaya diberkas APMM semula. Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929