LONDON – Pemain sensasi Tottenham Hotspur, Harry Kane mungkin sudah boleh berasa gembira apabila hasratnya untuk meninggalkan pasukan itu bakal tertunai.
Pengurus kelab itu, Daniel Levy dilaporkan telah menukar keputusan awalnya apabila kini sudah bersetuju untuk melepaskan khidmat Kane ke Manchester City.
Levy bersetuju untuk melepaskannya dengan nilai £160 juta (RM929.97 juta) dan Kane pula dilaporkan bakal meraih pendapatan mingguan sebanyak £400,000 (RM2.32 juta) seminggu di Etihad nanti.
Laporan menyebut, setakat ini kontrak Kane bersama City masih belum diputuskan tetapi ia mungkin melibatkan tempoh empat atau lima tahun.
Bulan lalu, Spurs telah menolak tawaran £100 juta (RM581.23 juta) daripada City dan pengurus baharu, Nuno Espirito Santo mendakwa dia percaya Kane akan terus kekal bersama kelab itu.
Selain itu, terdapat juga laporan menyebut bahawa Gabriel Jesus akan menyertai Spurs jika Kane ke Etihad tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah sebahagian terma perpindahan penyerang England itu.
Nilai £160 juta tersebut sekiranya dipersetujui akan menyaksikan Kane memecahkan rekod perpindahan di Liga Perdana Inggeris yang dipegang Paul Pogba yang menyertai Manchester United dari Juventus dengan nilai £89 juta (RM517.29 juta).
Ia juga memecahkan rekod penjualan pemain tertinggi oleh Spurs yang melepaskan Gareth Bale ke Real Madrid pada 2013 dengan nilai £86 juta (RM499.86 juta). – AGENSI