LONDON – Pemain tengah Arsenal, Emile Smith Rowe bakal menggalas tanggungjawab besar musim ini apabila diberikan jersi bernombor 10 selepas menandantangani kontrak baharu bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kelmarin.
Ia pastinya memberikan tekanan yang cukup tinggi kepada Smith Rowe, 20, untuk menggunakan No. 10 seperti pernah digunakan bekas bintang The Gunners seperti Mesut Ozil dan legenda mereka, Dennis Bergkamp.
Bagaimanapun, Smith Rowe bersedia untuk memberikan prestasi terbaik dan mencapai jangkaan ramai seperti dibuktikannya dalam 33 perlawanan bersama Arsenal musim lalu.
“Sejak kecil lagi saya selalu melihat permainan Bergkamp. Ketika saya di akademi (Arsenal), saya mendapat peluang berlatih bersama-sama Ozil sehinggalah suatu hari dapat beraksi dengannya di atas padang.
“Saya akan terus bekerja keras dan berharap satu hari nanti dapat mengulangi kecemerlangan yang pernah mereka lakukan bersama pasukan ini,” kata Smith Rowe.
Sementara itu, pengurus Arsenal, Mikel Arteta percaya mereka membuat keputusan tepat dengan memberikan jersi nombor 10 kepada Smith Rowe sebagai ganjaran terhadap prestasi cemerlangnya sejak kebelakangan ini.
“Dia seorang pemain yang mempunyai kebijaksanaan dalam permainan. Walaupun masih muda tetapi dia sudah meletakkan dirinya sebagai pemain utama buat pasukan ini,” jelasnya.
Sebagai rekod, Arsenal yang menamatkan saingan musim lalu pada tempat kelapan akan membuka kempen baharu EPL menentang Brentford pada 14 Ogos depan. – AGENSI