Oleh IVAN AMIRUL
SANDAKAN – Seramai 400 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina diusir ke negara asal dengan menaiki kapal laut daripada pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina semalam.
Pengusiran berkenaan adalah siri ke-23 yang dilaksanakan menerusi jalan laut bagi tahun ini melibatkan PATI Filipina dan Indonesia.
Pelaksanaan pengusiran terbabit sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan pengusiran PATI sepanjang tahun 2020 adalah seramai 5,645 orang.
Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua PATI yang dihantar pulang sudah dipastikan berada dalam keadaan sihat untuk diusir sebagai langkah berkenaan ialah salah satu usaha bagi memutuskan rantaikan jangkitan Covid-19.
“Semua tahanan juga wajib menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diusir dan mereka harus mengamalkan penjagaan kebersihan sepanjang proses pengusiran berlangsung.
“Sekiranya terdapat tahanan yang sakit, mereka akan menjalani rawatan sewajarnya terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini. – K! ONLINE