PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew memaafkan semua pihak yang melabelnya sebagai syaitan, dajal, babi, bodoh, penunggang serta segala macam fitnah dan kecaman yang menjatuhkan dirinya.
Menerusi coretan terbaharu di laman Facebook miliknya, beliau turut memaafkan sesiapa sahaja yang telah menyakiti arwah bapanya, isteri dan dan anak-anaknya.
“Saya maafkan semua. Kita semua sebuah keluarga sampai bila-bila. Saya dengan ini dari hujung rambut hingga ke hujung kaki minta maaf pada sesiapa sahaja secara langsung atau tidak langsung atas apa yang berlaku ini.
“Niat saya hanya hendak menjelaskan tuduhan terhadap saya. Saya minta maaf ya pada semua,” tulisnya hari ini.
Pendakwah disegani ramai itu turut berpesan kepada dirinya sendiri dan semua agar bersatu hati dan bersama-sama berdoa supaya Allah mengangkat musibah Covid-19 di negara ini.
Beliau berkata, sengketa yang wujud tidak menguntungkan sesiapa melainkan syaitan sedangkan ramai lagi orang miskin, anak yatim kelaparan selain ada yang hilang pekerjaan dan tiada tempat berteduh memerlukan bantuan.
“Tanyalah khabar jiran dan keluarga terdekat. Bila dua orang berselisih kedua-duanya tidak untung. Tetapi yang untung ialah syaitan.
“Sekali lagi saya minta maaf. Doakan saya. Cukuplah sampai sini. Ya Allah jika ada pahala untuk semua yang berlaku ini saya hadiahkan semua pahalanya buat ibu bapa saya,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929