fbpx

Berangan nak tukar baharu, kereta Uyaina meragam, tayar meletup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN tayar kereta Uyaina yang meletup ketika dia dalam perjalanan pulang dari sebuah klinik kelmarin.

PETALING JAYA -Mitos yang mendakwa jika seseorang itu memasang niat mahu menukar sesuatu barang kepada yang baharu, barang sedia ada akan rosak atau meragam, mungkin ada benarnya.

Situasi sedemikian yang terjadi kepada pelakon dan pengacara Uyaina Arshad semalam, apabila berdepan kejadian mencemaskan ketika dalam perjalanan pulang dari sebuah klinik.

Ketika itu, tayar keretanya pecah dan meletup secara tiba-tiba, sedangkan sebelum itu dia baru sahaja terdetik dalam hati untuk membeli kereta baharu.

“Ya, kesilapan paling besar! Tengah fikir-fikir dalam otak, kereta apa yang bagus dan sesuai. Bila nak tukar dan sebagainya tetapi bukan dalam waktu terdekat pun sebab saya baru saja beli kereta ini tahun lepas.

“Dalam pada ralit fikir nak beli yang lain, tiba-tiba kereta ni mengaum. Tapi saya tak tahu sebab bunyi pelik ni. Ingatkan enjin, jadi saya teruskan pemanduan,” kongsi Uyaina menerusi hantaran dalam Instagramnya.

Biarpun tahu ada sesuatu yang pelik, Uyaina tetap meneruskan pemanduan seperti biasa tanpa menyedari keadaan tayar keretanya sudah meletup pada ketika itu.

Namun setibanya di kawasan berdekatan sebuah pusat beli belah di Damansara, kereta yang dipandunya tidak boleh bergerak sehingga memaksanya berhenti di bahu jalan.

Dia yang cemas kemudian bertindak menghubungi kekasihnya, penyanyi Raja Syahiran bagi membantunya menukar tayar gantian.

“Elok je berhenti dan saya periksa melalui cermin sisi, tahu-tahu tayar dah rabak. Dia jadi rambu-ramba tepi tayar tu. Tak okey. Sempat lah menangis sekejap sebab cuak.

“Dalam 10 minit dia sampai dan suruh saya masuk dalam kereta, jangan keluar. Saya pula risau sebab situ jalan sibuk, banyak sangat kereta, bas dan motor laju-laju. Takut benda lain pula jadi, nauzubillah.

“Dalam beberapa minit selepas itu, ada satu kereta merah berhenti belakang kereta kami. Seorang lelaki Cina turun dan tolong. Baik sangat abang tu,” ujarnya lagi.

Belajar daripada pengalaman, Uyaina mengingatkan peminatnya agar tidak bercakap atau terfikir dalam hati tentang kereta lain ketika sedang menggunakan kereta yang dipakai sekarang.

“Kereta itu tahu dan dia akan terus buat hal dan meragam! Percayalah. Paling penting, periksa keadaan kereta selalu dan hantar servis bila dah tiba masanya.

“Perkara buruk mungkin boleh berlaku kepada saya tetapi alhamdulillah Allah masih pinjam nyawa ini. Kalian jaga diri. Serius, ingat apa yang saya pesan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI