PUTRAJAYA – Pemisahan fungsi Peguam Negara dan pendakwa raya bakal ditambah baik melalui kajian perbandingan dengan negara-negara lain namun akan disesuaikan sistem perundangan di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, buat masa ini, perancangan ke arah memisahkan fungsi Peguam Negara dan pendakwa raya telah dimulakan ke arah menjamin aspek keadilan dan memenuhi prinsip keluhuran undang-undang pada masa ini.
Beliau berkata, pemisahan fungsi itu juga pada masa sama bagi mengelakkan berlakunya percanggahan kepentingan.
“Kerajaan sentiasa terbuka dan bersedia mengambil langkah-langkah bagi memelihara integriti serta kepercayaan awam terhadap badan perundangan termasuk Jabatan Peguam Negara dan seumpamanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Takiyuddin berkata, kerajaan juga tiada halangan mempertimbangkan langkah mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sekiranya ada keperluan berdasarkan fakta dan undang-undang.
Katanya, RCI juga dipertimbangkan penubuhannya jika terdapat langkah-langkah pihak tertentu yang boleh menimbulkan persoalan integriti serta keyakinan terhadap badan perundangan yang sepatunya bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan dalam aspek perundangan serta penjaga kepada keadilan jenayah (gate keepers of criminal justice). – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929