SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menafikan terlibat dalam sebarang program pendakwah bebas, Ebit Lew seperti didakwa dalam satu artikel yang tular di media sosial.
MAIS berkata, hasil penelitian dan semakan pihaknya terhadap sidang akhbar Ebit itu mendapati penceramah itu tidak menyebut perkataan MAIS sebaliknya Maeps (Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang).
Justeru, katanya, tindakan mengaitkan MAIS dalam penulisan artikel itu memberikan gambaran salah kepada orang awam bahawa wang yang disumbangkan oleh Ebit kepada umat Islam di Gaza turut diperolehi melalui program latihan Keluarga Sunnah anjuran penceramah berkenaan yang dibuat di MAIS berjumlah RM700,000.
“Dakwaan tersebut boleh menjejaskan imej dan reputasi MAIS sebagai pihak berkuasa terhadap hal ehwal umat Islam dan pentadbir harta zakat, Baitulmal dan wakaf dalam Selangor.
“Sehubungan itu, MAIS menuntut penulis artikel berkenaan mengeluarkan nama MAIS dari artikel tersebut dengan serta-merta dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak MAIS,” katanya dalam kenyataan di sini.
Terdahulu tular artikel bertajuk ‘Live Explanation Ebit Lew’ dibuat seorang penulis khasnya pada kandungan Perkara 12 yang menyebut “Income dari training, “Keluarga Sunnah” contohnya satu organisasi, Mais jumlahnya 7000 orang x RM 100, boleh dapat 700k sehari,”.
MAIS turut meminta semua pemilik laman web sosial dan orang ramai yang telah memuat naik dan berkongsi artikel berkenaan untuk mengeluarkan artikel berkenaan dan menghentikan dengan serta-merta penyebaran maklumat yang salah ini melalui pesanan sistem pesanan ringkas (SMS), WhatsApp atau saluran media sosial lain.
“Tindakan undang-undang terhadap penulis artikel tersebut atau mana-mana pihak yang gagal menghentikan penyebaran maklumat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Orang ramai diingatkan agar tidak mudah mempercayai sesuatu maklumat yang diperolehi di atas talian dan menyemak dahulu kesahihan maklumat itu,” jelasnya. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929