fbpx

Orang Indonesia jatuh hati dengan Amyra Rosli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMYRA berkongsi respons peminat Indonesia tentang lakonannya menerusi drama Nur.

PETALING JAYA – Pelakon Amyra Rosli gembira dan tidak menyangka dia kini mempunyai peminat dalam kalangan penonton dari Indonesia impak daripada lakonannya dalam drama bersiri Nur

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya, Amyra berkongsi poster drama Nur selepas namanya ‘ditag’ penonton dari Indonesia berserta mesej daripada peminatnya di sana.

Amyra ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, sebenarnya terkejut selepas menerima terlalu banyak kiriman mesej (DM) dalam Instagram daripada penonton di negara seberang itu yang ‘jatuh hati’ dengan lakonannya menerusi drama Nur.

“Alhamdulillah. Saya sebenarnya tidak tahu langsung tentang drama Nur yang ditayangkan di sana. Sebab setahu saya Nur pernah ditayangkan sebelum ini di stesen televisyen di MNCTV, Indonesia, pada April lalu namun cuma satu episode sahaja sebelum tayangan ditarik semula kerana kurang mendapat sambutan.

“Jadi saya terkejut apabila menerima banyak kiriman mesej daripada penonton Indonesia yang menggemari lakonan saya dalam drama Nur,” katanya.

Kata Amyra lagi, sudah tentu dia berasa sungguh gembira dan tidak menyangka dia kini sudah mempunyai peminat tersendiri dari Indonesia.

“Memang saya menerima terlalu banyak mesej daripada mereka (penonton Indonesia) dan saya berkesempatan juga membalas mesej tersebut dengan mengucatkan terima kasih,” katanya.

Dalam pada itu, Amyra juga berkata memang ada dalam kalangan penonton di sana memberitahu bahawa wajahnya mirip seperti aktres popular Indonesia, Nia Ramadhani.

“Ya memang ramai juga yang kata wajah saya mirip seperti aktres Nia Ramadhani,” katanya kepada Kosmo!

Menerusi hantaran yang dikongsikan, rata-rata penonton dari Indonesia berkata drama Nur merupakan program televisyen pertama Malaysia yang ditonton mereka.

“Kali pertama menonton drama dari Malaysia dan baru sahaja menonton drama Nur sehingga habis. Sangat dicadangkan untuk menonton drama ini,” ujar salah seorang penonton dari Indonesia.

“Seharian ‘maraton’ daripada episode satu hingga 19. Sebuah drama yang menyentuh perasaan sehingga membuatkan saya menangis,” komen seorang lagi penonton.

“Saya beri markah sembilan daripada 10. Tidak sabar menunggu siri kedua Nur,” kata penonton Indonesia.

Drama Nur arahan pengarah Shahrulezad sebelum ini pernah mencipta fenomena di Malaysia selepas meraih sehingga 10 juta tontonan semasa ditayangkan pada Mei 2018.

Drama berkisarkan dilema cinta dua insan dengan latar belakang yang berbeza apabila ustaz muda, Adam lakonan Syafiq Kyle terpikat dengan pelacur bernama Nur (Amyra Rosli) yang digelar ‘gadis lorong’ dan tidak mendapat didikan agama sempurna. Cinta Adam dan Nur mendapat tentangan hebat dari keluarga dan masyarakat. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI