PUTRAJAYA – Kabinet bersetuju supaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib masing-masing.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah penyelesaian segera itu antara lain bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.
Beliau berkata, kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.
“Langkah ini bagi memastikan pegawai-pegawai berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, Kabinet turut memahami kebimbangan dan masalah yang dihadapi kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak berhubung kesetaraan laluan kerjaya.
Justeru beliau berkata, Kabinet bersetuju agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap bagi memastikan laluan kerjaya yang setara dan adil kepada mereka.
“Mereka juga akan ditawarkan Cuti Belajar Bergaji penuh serta tajaan pengajian setara dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929