KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial telah mengesan kewujudan modus operandi jenayah baharu yang memanipulasi sistem pembayaran bil utiliti untuk memperdaya mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis pada Julai lalu membabitkan kerugian sebanyak RM8,500.
“Sindiket penipuan ini akan menghubungi mangsa yang mempunyai tunggakan bil utiliti dan menawarkan diskaun sekiranya mangsa membenarkan mereka untuk melunaskan bayaran tunggakan bil utiliti mangsa.
“Sindiket ini juga akan memaklumkan akan mendahulukan wang mereka dalam urusan tersebut dan mendakwa resit bayaran akan digunakan mereka untuk mendapatkan pengecualian cukai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, setelah mendapatkan persetujuan mangsa, sindiket akan menggunakan cek-cek yang tiada nilai (cek tendang) untuk membuat pembayaran melalui mesin deposit milik penyedia perkhidmatan utiliti.
“Sebaik pembayaran dibuat, sistem penyedia perkhidmatan akan memaparkan rekod bahawa bayaran bil telah dibuat.
“Sindiket ini kemudiannya akan meminta mangsa membuat pindahan wang kepada mereka melalui akaun bank milik pihak ketiga,” jelasnya.
Tambahnya, mangsa hanya menyedari ditipu apabila pihak penyedia perkhidmatan gagal menunaikan cek-cek yang dimasukkan.
“Polis menggesa orang ramai yang mungkin telah menjadi mangsa penipuan sindiket ini untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar membuat pembayaran bil utiliti secara terus kepada penyedia perkhidmatan yang sah,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929