LONDON – Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea bersedia untuk merendahkan egonya apabila sudi untuk membuat perjanjian dengan musuh tradisi, Arsenal yang sangat berminat untuk menandatangani khidmat penyerang, Tammy Abraham pada jendela perpindahan kali ini.
Sebagai rekod, khidmat Abraham menjadi buruan banyak kelab EPL termasuk Tottenham Hotspur dan West Ham selepas gagal berada dalam perancangan pengurus pasukan The Blues, Thomas Tuchel.
Difahamkan, Chelsea mahukan yuran perpindahan sebanyak £40 juta (RM231 juta) buat penyerang antarabangsa England berusia 24 tahun itu bagi mengurangkan beban gaji tinggi yang diterima oleh Abraham bernilai £80,000 (RM463,000).
Skuad The Gunners kendalian Mikel Arteta sangat berminat mahu mendapatkan khidmat Abraham tetapi mereka tidak mahu melakukan perpindahan secara tetap sebaliknya mahu menguji pemain itu dengan terma pinjaman selama semusim.
Chelsea dilaporkan tidak mempunyai masalah untuk berbincang dengan Arsenal sekiranya mereka serius untuk menandatangani khidmat Abraham walaupun secara pinjaman kerana pihak pengurusan sudah bersedia untuk membawa penyerang baharu.
Antara pemain yang dikaitkan untuk berhijrah ke Stamford Bridge musim ini adalah penyerang sensasi Borussia Dortmund, Erling Haaland dan penyerang utama Bayern Munich, Robert Lewandowski selain bekas pemain mereka, Romelu Lukaku yang kini bersama Inter Milan.
Chelsea ketika ini hanya memiliki seorang penyerang senior selain Abraham iaitu Timo Werner selepas pemain veteran dari Perancis, Olivier Giroud mengambil keputusan berhijrah ke kelab Serie A, AC Milan awal minggu ini. – AGENSI