PUTRAJAYA – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof menegaskan pendakwaan yang dihadapi oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bukan bersifat politik.
Beliau berkata, tiada sesiapa yang membuat ugutan seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Muar itu.
Menurutnya, Syed Saddiq yang merupakan bekas Ketua Armada Bersatu seharusnya berani mendepani dua pertuduhan pecah amanah yang dihadapi untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.
“Semua rakyat di negara ini perlu mematuhi undang-undang terutama pemimpin politik kerana gerak-geri mereka sentiasa diperhatikan ramai.
“Itu tidak betul, siapa-siapa yang melanggar undang-undang, kita ada rule of law untuk dipatuhi, siapa yang contoh hari ini yang tidak sabit kesalahan, mereka mungkin bertuah,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Seri Seroja di sini hari ini.
Beliau yang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) turut menasihati Syed Saddiq agar sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga kerana orang sekeliling memandang keberadaan mereka dalam masyarakat.
“Pemimpin politik kita kena berjaga-jaga, orang pandang akan keberadaan dalam masyarakat. kalau kita terlibat gejala-gejala yang libat integriti dan pecah amanah, kita kena bertanggungjawab.
“Kita tidak boleh salahkan (orang lain). Contoh sebab politik, tiada benda yang dicampur dengan politik dengan undang-undang, jadi beliau (Syed Saddiq) kena jawab,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929