PETALING JAYA – Pendakwah bebas, PU Riz atau nama sebenarnya, Muhammad Haris Mohd Ismail mengakui pernah mendapat tawaran untuk menjalankan misi bantuan ke Gaza bersama isterinya, Neelofa dan Ustaz Ebit Lew pada Jun lalu.
Katanya, tawaran dan perbincangan tersebut turut melibatkan adik-beradik yang aktif dalam misi kemanusian Gaza, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.
Haris, 26, berkata, tawaran tersebut datang daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan mereka juga sudah menjalankan beberapa perbincangan secara dalam talian.
“Sejujurnya, betul saya bersama isteri dan beberapa selebriti lain termasuk Ustaz Ebit Lew mendapat tawaran untuk ke Gaza. Pergerakan ke sana juga dijadualkan pada Jun.
“Namun, saya dimaklumkan projek tersebut tidak dapat diteruskan atas beberapa sebab.
“Kemudian, saya dapat tahu Ustaz Ebit Lew bersama pasukan dapat ke sana bagi menjayakan misi mereka. Itu adalah rezeki mereka,” katanya.
Terdahulu, nama Haris bersama isteri dan adik-beradik Heliza serta Hazwani Helmi disebut penyanyi rap, Caprice menerusi hantaran dalam InstaStory yang mendakwa mereka sepatutnya ke Gaza bersama Ebit Lew.
Pendedahan tersebut sekali gus menimbulkan pelbagai tanggapan, selain ada yang mendakwa Ebit mengambil kertas cadangan berkenaan bagi tujuan menjayakan misi sendiri.
“Cukup untuk saya jelaskan, memang saya bersama yang lain termasuk Ebit Lew dijemput untuk ke sana. Apa yang berlaku selepas itu, saya tidak ada pengetahuan apa-apa mengenainya.
“Saya harap perkara ini jelas dan orang ramai berhenti untuk membuat spekulasi. Saya berdoa semoga segala kebaikan yang kita kerjakan mendapat keredaan Allah,” katanya.
Terdahulu, Neelofa menerusi beberapa maklum balas yang ditinggalkan semasa siaran langsung Instagram (IG Live) Ebit Lew tengah hari tadi meminta agar nama ibunya, Noor Kartini Noor Mohammed tidak lagi dikaitkan dalam perbalahan antara Ebit dan Caprice berhubung isu bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin yang heboh diperkatakan ramai sejak kebelakangan ini. – K! ONLINE