Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
MELAKA – Padah menjual lebih 350 botol minyak angin Cap Kapak tiruan, tiga beradik terpaksa membayar denda sebanyak RM11,500 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Teo Fang Chin, 27, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Dalam mahkamah berasingan, Teo Fang Hao, 25, dan adiknya Teo Wei Chiang, 23, turut membuat pengakuan sama di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didapati telah mendedahkan bagi jualan total 362 botol minyak tiruan pebagai saiz yang suatu cap dagang berdaftar iaitu Cap Kapak dipakaikan.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh antara pukul 12. 28 sehingga 12.47 tengah hari di tiga buah kedai ubat di lokasi berasingan dalam daerah Melaka Tengah pada 11 Ogos lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(ii) akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10, 000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Difahamkan, kesemua barang tiruan itu dianggarkan bernilai RM2,123.90.
Terdahulu, Peguam Nasdan Rengganathan Abdullah yang mewakili ketiga-tiga beradik itu memohon hukuman berbentuk denda yang rendah diberikan dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama mereka dan tertuduh perlu menyara ibu serta bapa, selain seorang bapa saudara orang kelainan upaya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Chiew King dan Pegawai Pendakwa Sallim Wahid memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan memohon barang bukti dikembalikan untuk dilupuskan.
Selepas mendengar rayuan kedua pihak, Elesabet menjatuhkan hukuman denda RM3, 000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar terhadap Feng Chin.
Norma kemudian menetapkan denda RM7, 000 atau 6 bulan penjara jika gagal bayar terhadap Fang Hao manakala adiknya dikenakan RM1, 500 atau dua bulan penjara jika gagal bayar. Kesemua barang bukti turut dikembalikan kepada pihak pendakwa untuk dilupuskan.
Ketiga-tiga beradik itu kemudian membayar kesemua denda tersebut yang berjumlah RM11,500. – K! ONLINE