KEMAMAN – Tidak sampai 24 jam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di Mukim Bandi, laluan tikus baharu dikesan dibuat individu tidak bertanggungjawab dipercayai untuk meloloskan diri.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, perbuatan individu tidak bertanggungjawab tersebut dikesan awal pagi semalam sewaktu anggota polis bertugas sedang melakulan rondaan.
“Kita kesan percubaan individu membuat laluan tikus baharu untuk keluar dari kawasan PKPD ini.
“Bagaimanapun kita telah berjaya menyekat kembali laluan tersebut dan meletakkan anggota bagi mengawal kawasan terlibat,” katanya di sini hari ini.
PKPD Mukim Bandi di dua lokaliti iaitu Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 2 berkuat kuasa selama 14 hari sehingga 3 Ogos ini melibatkan lebih 10,000 penduduk daripada kira-kira 1,500 buah rumah.
Hanyan berkata, pihak polis dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memasang penghadang jalan konkrit dan kawat berduri di empat laluan masuk dan keluar di kawasan tersebut selain satu sekatan jalan raya (SJR).
“Kita akan mengetatkan lagi kawalan dan pemantauan di setiap lorong tikus dengan kekuatan 28 anggota polis setiap masa bagi memastikan tiada penduduk yang dapat keluar tanpa kebenaran,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929