fbpx

Air mata iringi hari terakhir Rea di konti Kool FM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REA kini tamat kontrak sebagai penyampai Kool FM.

PETALING JAYA – Selepas lapan tahun bersiaran di konti Kool FM, penyampai radio, Rea mengesahkan tidak lagi bersama stesen berkenaan secara rasmi pada Jumaat ini.

Katanya, surat penamatan kontrak hanya akan diserahkan pihak pengurusan pada hujung minggu tetapi dia mengambil keputusan untuk ke udara buat kali terakhir Isnin lalu.

“Buat masa ini saya sudah berbincang dengan suami untuk berehat dahulu dan membesarkan anak sebelum mulakan perancangan baharu awal tahun depan.

“Memang sedih sampai saya menitiskan air mata apabila mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga kedua saya di radio yang selama ini saya anggap sebagai kakak dan abang sendiri.

“Apatah lagi dunia radio sudah menjadi sebahagian hidup saya sejak lapan tahun lalu. Sudah tentu ia suasana yang akan saya rindukan nanti selain ke udara bersama pendengar.

“Sebelum ini setiap kali ke konti perasaan saya seronok sebab tak terasa bekerja, sebaliknya teruja untuk berkongsi perasaan dengan pendengar dan keluarga kedua saya,” katanya kepada K! Online.

Terdahulu, pemilik nama sebenar Tengku Nor Suriya Tengku Mohamad itu dilihat menukar nama akaun IG kepada @tengku.rea daripada @rea_koolfm sehingga mencetuskan tanda tanya.

Tambahan pula sebelum itu, dua gandingan pagi daripada Hot FM yang juga di bawah rangkaian radio sama, Mark Adam dan Fizie lebih dulu mengumumkan sampai setakat itu mereka bersiaran.

Sebelum berkhidmat dengan Kool FM mengendalikan segmen pukul 10 pagi hingga 3 petang, Rea pernah bergelar penyampai radio Hot FM juga selama empat tahun.

Anak jati Terengganu yang mendirikan rumah tangga dengan pemain dram kumpulan Drama Band, Faeez Ikhwan dikurniakan seorang cahaya mata, Dhia Madeena, berusia setahun.

Ditanya sama ada ingin meneruskan kerjaya di radio, akui Rea, dia tidak akan menolak andai diajukan sebarang tawaran memandangkan ia sesuatu yang dicintainya.

“Memang saya seronok ke udara dan berkongsi segala-galanya dengan pendengar. Dunia penyiaran sudah tentu berada di carta teratas walaupun saya sudah ada perancangan lain.

“Jika ada radio lain yang mempelawa kenapa tidak saya terima? Kalau boleh saya mahu mencabar diri mencuba segmen pagi atau petang selepas lapan tahun bersiaran dari pukul 10 pagi hingga 3 petang,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI