PETALING JAYA – Sumbangan pendakwah bebas, Ebit Lew yang dibeli di Cairo, Mesir telah berjaya memasuki Gaza, Palestin pada hari raya pertama aidiladha.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman di laman Telegram miliknya semalam.
Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, barangan tersebut tiba bersama-sama dengan 300 tan bantuan lain sekaligus menjawab persoalan mengenai barang-barang bantuan dari Ebit Lew yang sebelum ini dikatakan telah disekat dari memasuki Gaza.
“Ada kawan kongsikan post (kemas kini) yang sumbangan Ebit Lew yang dibeli di Cairo telah masuk pada hari raya pertama bersama 300 tan bantuan lain.
“Alhamdulillah dan tahniah. Ini yang kita mahukan, maklumat tentang bantuan yang disampaikan. Buat apa nak dengki dan iri hati sebab bantuan ini akan sampai kepada jiran saya, malah mungkin kaum kerabat saya sendiri di sini,” katanya.
Terdahulu, misi kemanusiaan Ebit ke Gaza menimbulkan pelbagai spekulasi selepas penyanyi rap, Caprice membuat beberapa dakwaan berhubung cara Ebit mendapatkan kebenaran untuk masuk ke Gaza.
Perkara tersebut kemudian berlarutan apabila Muhammad Nadir Al-Nuri turut mempersoalkan perkara sama dan beberapa lagi hal lain berkaitan misi kemanusiaan itu sebelum Ebit bertindak melaporkan dakwaan-dakwaan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929