LONDON – Bintang tenis No.6, Elina Svitolina mengakui berbangga selepas dapat mewakili Ukraine di temasya Sukan Olimpik Tokyo sekali gus memasang impian untuk memburu pingat di temasya sukan terbesar dunia tersebut.
Svitolina yang menyelesaikan majlis perkahwinan dengan bintang tenis Perancis, Gael Monfils pada Jumaat lalu menegaskan mereka terpaksa menangguhkan bulan madu dan fokus pada temasya Sukan Olimpik yang membuka tirai secara rasmi pada 23 Julai ini nanti.
Pemain berusia 26 tahun tersebut mencatat kemenangan menakjubkan ke atas Serena Williams pada Sukan Olimpik Rio 2016 sebelum tewas di tangan Petra Kvitova pada peringkat suku akhir sekali gus meletakan harapan tinggi untuk memenangi pingat buat Ukraine pada edisi kali ini.
“Tahun yang menggembirakan buat saya iaitu perkahwinan dan juga sertai Sukan Olimpik. Sukar untuk menjalankan majlis perkahwinan akibat pandemik Covid-19 ini. Kini fokus saya adalah di Sukan Olimpik.
“Kami baru tiba di Tokyo dan keadaan di sini sangat panas. Bagaimanapun, kami perlu menyesuaikan diri dengan cepat dan bersedia menghadapi apa jua keadaan selepas ini.
“Saya sangat gembira berada di sini dan ia adalah Olimpik yang istimewa untuk saya serta pasukan. Sangat sukar untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Ukraine dan saya teruja untuk memulakan kejohanan ini.
“Sudah pasti misi saya adalah untuk membawa pingat buat pasukan. Sudah pasti temasya Sukan Olimpik kali ini pasti berbeza. Justeru kami perlu menjaga kesihatan dan tidak dijangkiti Covid-19. Soal percutian perkahwinan kami semestinya selepas berakhir Olimpik,” katanya.
Selain Svitolina, Dayana Yastremska turut layak ke Sukan Olimpik. – AGENSI