WASHINGTON – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) sedang memantau lebih 200 individu di 27 buah negeri yang berkemungkinan terdedah dengan cacar monyet, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Kesemua pesakit dijangkiti selepas menjadi kontak seorang penduduk Texas yang dijangkiti virus itu pulang dari Nigeria awal bulan ini,
Setakat ini, tiada tambahan kes cacar monyet yang dilaporkan di AS.
Pegawai kesihatan negeri dan tempatan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memantau individu kontak rapat dengan melakukan susulan harian sehingga 30 Julai depan.
Menurut CDC, pesakit melakukan perjalanan dari Lagos ke Dallas dan singgah di Atlanta pada 8 dan 9 Julai lalu, seminggu sebelum disahkan dijangkiti virus tersebut yang berjangkit melalui titisan pernafasan dan cecair badan.
Mereka yang dipantau termasuk individu yang duduk dengan jarak dua meter daripada pesakit itu atau yang menggunakan tandas kabin pesawat.
Petugas penerbangan dan ahli keluarga mereka turut dipantau kerana kemungkinan terdedah dengan virus tersebut yang mempunyai tempoh inkubasi antara tiga hingga 17 hari.
“Jumlah jangkitan ini ramai dan kami mahu memantau semua kontak rapat dengan teliti,” kata ahli epidemiologi Pusat Nasional untuk Penyakit Zoonotik dan Penyakit Berjangkit, Andrea McCollum.
Cacar monyet menyebabkan demam, menggigil, bengkak kelenjar dan ruam bersama lepuh berisi nanah di seluruh badan. – Agensi