TOKYO – Penganjur temasya sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak menolak untuk membatalkan acara tersebut sekiranya angka jangkitan Covid-19 terus meningkat susulan lebih ramai atlet disahkan positif wabak itu, lapor saluran televisyen CNBC semalam.
Ketua Jawatankuasa Penganjurannya, Toshiro Muto berkata, pihaknya kini akan memantau rapi angka jangkitan dan bekerjasama dengan para penaja jika perlu.
“Kami akan meneruskan perbincangan sekiranya angka jangkitan terus meningkat.
“Kami telah bersetuju bahawa berdasarkan situasi koronavirus, sebarang perbincangan akan melibatkan lima pihak.
“Buat masa ini, kes Covid-19 di Jepun boleh meningkat atau menurun, jadi kami akan menilai apa yang perlu dilakukan berdasarkan situasi semasa,” katanya dalam satu sidang akhbar.
Setakat ini, terdapat 71 kes jangkitan Covid-19 yang berkaitan dengan temasya sukan tersebut sejak 1 Julai, sejurus selepas kontijen atlet dan pegawai sukan dari seluruh dunia tiba di Tokyo.
Selain itu, beberapa penaja turut dilaporkan enggan menghadiri acara pembukaan pada Jumaat ini.
Penganjur temasya itu bagaimanapun berikrar untuk memberi penekanan 100 peratus bagi memastikan kejayaan acara tersebut.
Olimpik Tokyo 2020 yang telah pun ditangguhkan sejak tahun lepas disebabkan oleh Covid-19 itu dijadualkan berlangsung tanpa penonton dan jawatankuasa membuat keputusan bahawa atlet akan bertanding di pusat-pusat acara yang kosong.
Sementara itu, dalam satu undian yang dilakukan oleh akhbar Asahi, sebanyak 68 peratus daripada responden melahirkan rasa ragu terhadap penganjur temasya tersebut untuk mengawal jangkitan Covid-19, selain 55 peratus lagi menentang penganjuran tersebut. – AGENSI