SUNGAI SIPUT – Faktor keletihan yang dihadapi petugas serta sukarelawan barisan hadapan berkemungkinan punca berlakunya suntikan vaksin menggunakan picagari kosong di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sepertimana yang tular pada media sosial baru-baru ini.
Kemungkinan itu tidak boleh disangkal, justeru semua petugas disaran memberitahu keadaan diri sekiranya kepenatan dan berasa perlu mendapatkan rehat secukupnya.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, terdapat tiga kes berkaitan yang masih dalam siasatan polis manakala bagi kes di Sungai Petani, petugas kesihatan yang terlibat telah diberikan teguran dan tindakan.
Menurut beliau, petugas kesihatan berada dalam keletihan setelah lebih setahun bertugas disebabkan wabak Covid-19 dan sudah tentu mereka perlukan rehat.
“Saya berpandangan, jika petugas kesihatan letih, mereka mesti bercakap, kongsi masalah dan jangan diam sahaja sebaliknya mereka perlu minta direhatkan.
“Kerana kalau letih namun diteruskan juga, bimbang akan jadi tidak produktif. Kita bimbang kerana pemberian vaksin ini satu perkara yang sangat serius kerana ia melibatkan kesihatan dan nyawa orang,”katanya semasa ditemui selepas melawat PPV Awam Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) di sini.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929