fbpx

Nabil syahdu kenang pengorbanan isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABIL AHMAD dan isterinya, Zira.

PETALING JAYA – Pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad tersentuh dengan pengorbanan insan terdekat terutama isteri tercinta yang sanggup meninggalkan kerjaya sendiri demi memastikan cita-cita seorang suami dapat digapai.

Katanya, kehadiran Aidiladha menambahkan rasa syahdu, terutama mengenangkan maksud korban yang hanya benar-benar dapat difahami dengan jelas selepas mendekati agama, khususnya mengikuti tabligh.

“Bagi saya pengorbanan itu adalah ketaatan kita kepada perintah Allah. Kita tinggalkan larangan-Nya, dan ikuti perintah-Nya seperti mendirikan solat lima waktu, berpuasa, tunaikan zakat, menunaikan Haji dan suruhan lain.

“Sebenarnya saya sendiri belum ada pengorbanan besar yang saya lakukan tetapi isteri saya yang pernah melakukan perkara itu apabila meninggalkan kerjayanya sebaik bergelar isteri dan kemudian melahirkan serta membesarkan zuriat kami.

“Tidak terbalas pengorbanannya yang menemani dan menyuntik semangat bagi memastikan cita-cita saya dalam kerjaya seni ini dapat saya realisasikan. Semua perkara itu saya nampak dan sangat saya hargai.

“Begitu juga orang lain yang berada di keliling saya, dari kru belakang tabir hingga barisan pelakon dan teman seperjuangan lain, mereka ini yang banyak melakukan pengorbanan dalam membantu saya berada pada tahap ini,” katanya.

NABIL bersama keluarganya.

Menerusi perkahwinannya dengan Nazirah Ayub yang juga bekas pramugari pada 2011, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Nayra Mikayla, 8, Layla Medyna, 5 serta Mishall Amani yang kini sudah mencecah usia dua tahun.

Penerbit yang baharu tampil dengan filem arahan pertamanya, Mat Bond Malaya itu turut mengakui situasi pandemik Covid-19 yang melanda dunia masa kini juga meninggalkan impak terhadap rutin tahunannya.

Katanya disebabkan ibadah korban tidak dilaksanakan di tempat kelahirannya, Negeri Sembilan, dia melakukannya di kawasan lain yang dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Alhamdulillah, dengan izin Allah setakat ini saya belum pernah terlepas buat ibadah korban walaupun tahun ini di Negeri Sembilan ditangguhkan dulu disebabkan musim pandemik ini. Tidak mengapa, kita buat di tempat lain yang dibenarkan.

“Walaupun dengan cara berbeza, yang penting adalah ikut yang ditetapkan kerajaan dalam keadaan kita yang dicengkam Covid-19 ini. Syukur saya dapat buat korban tiga ekor lembu dan lima ekor kambing,” katanya lagi.

Pada masa sama, Nabil juga berkongsi rezeki dengan membantu kru penggambaran serta keluarga memerlukan yang terjejas menerusi pengagihan barang sumbangan makanan kering inisiatif bersama syarikat penaja dan beberapa rakan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI