fbpx

Urus 2,400 tan sisa pepejal sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AFES yang bertanggungjawab mengurus dan mengendalikan Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin di Kepong mampu menerima kira-kira 2,400 tan sisa pepejal dalam sehari.

PETALING JAYA – Isu pembuangan sisa pepejal yang tidak terurus merupakan antara permasalahan utama yang dihadapi hampir kebanyakan bandar-bandar utama di seluruh dunia.

Di Kuala Lumpur sendiri, isu ini sering dibangkitkan pelbagai pihak yang menyedari bahawa hanya dengan pengurusan yang sistematik dapat mengawal pembuangan sisa pepejal, sekali gus menjadikan persekitaran di ibu negara sentiasa terpelihara.

Menurut Pengarah Perbada­nan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan, Mohd. Zahir Shari, purata penghasilan sisa pepejal di Kuala Lumpur dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini adalah sebanyak 2,116 tan sehari, berbanding purata sebanyak 2,054 tan sehari sepanjang tahun lalu.

Bagi purata tahun 2019 pula, sebanyak 2,285 tan sisa pepejal dihasilkan sehari bagi bandar raya ini.

“Berdasarkan trend tersebut, terdapat penurunan daripada purata jumlah sisa harian yang dihasilkan di Kuala Lumpur sekiranya mengambil kira tempoh selama enam bulan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! baru-baru ini.

Pada masa sama, Mohd. Zahir berkata, sebanyak 383,043.502 tan metrik sisa pepejal telah dijana di Kuala Lumpur bermula Januari sehingga Jun tahun ini.

“Pada tahun lalu, sebanyak 751,837.74 tan metrik sisa pe­pejal pula telah direkodkan yang mana ia merupakan penurunan sebanyak 9.82 peratus berban­ding 2019.

“Ini kerana, sejumlah 833,726.68 tan metrik sisa pepejal telah dilaporkan pada 2019,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sebelum ini adalah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) sehinggalah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dikuatkuasakan bermula pada 1 September 2011.

“Buat masa ini, Akta 672 berkuat kuasa di tujuh buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah, Perlis, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Akta 672 memberi kuasa untuk Kerajaan Persekutuan melalui SWCorp yang ditubuhkan pada 1 Jun 2008 mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripada PBT,” ujarnya.


Insiden longgokan bertan-tan sampah di tepi jalan pada tahun 2013 mencetuskan pelbagai polimik dan respons negatif pelbagai pihak.

Sementara itu, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora), iaitu syarikat pengurusan sisa pepejal di Kuala Lumpur memaklumkan, mereka berupaya menguruskan sehingga 2,400 tan bahan buan­g­an tersebut dalam sehari.

Menerusi anak syarikatnya ia­itu Alam Flora Enviromental Solutions Sdn. Bhd. (AFES), selaku operator yang mengendalikan Stesen Pemindahan Sisa Pe­pejal Taman Beringin di Kepong, pihaknya menerima masuk lori-lori sisa pepejal dari Kuala Lumpur untuk di proses sebelum di hantar ke Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Ketua Pengurusan Fasiliti Sisa Pepejal AFES, Mohd. Norazizi Zakaria berkata, walaupun jumlah sampah yang banyak memasuki stesen di Taman Beringin, Kepong pada setiap hari, mereka tidak berhadapan dengan sebarang isu untuk menguruskannya.

“Sebelum ini, semua sampah yang datang dari Kuala Lumpur akan dihantar terus ke tapak pelupusan sampah, bagaimanapun jumlah sampah yang dihantar dapat dikurangkan.

“Ia kerana, kami menerapkan elemen kelestarian alam dan inisiatif hijau serta proses merawat sisa seperti mengitar semula bahan yang boleh dikitar semula, sisa kebun dan sisa makanan,” katanya.


PEMANDANGAN dari udara menunjukkan keadaan di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin, Kepong yang dikendalikan oleh AFES secara sistematik dan tersusun sejak tahun 2014.

Menurutnya, sejak mengambil alih urusan berkaitan pengurusan stesen tersebut pada 2014, tidak berlaku lagi insiden besar seperti kejadian melonggokkan sampah di sisi jalan sebagaimana yang berlaku pada 2013.

Menurutnya, operasi Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin terhenti seketika pada 2013, mengakibatkan kerosakan pada mesin pemampat.

Katanya, ia menyebabkan lori-lori sampah bertindak melonggok sebanyak 250 tan sampah di sepanjang bahu Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang mengakibatkan kesesakan jalan raya yang teruk.

Ketika itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menga­rahkan Alam Flora untuk membersih­kan dan membaik pulih semula stesen itu dan telah bertungkus-lumus sepanjang 7 hari untuk memastikan stesen pemindahan beroperasi dengan efektif sehingga ke hari ini.

Di samping itu katanya, Alam Flora turut diarah membaiki ke­rosakan mekanikal pada kende­raan, kontena dan mesin pemampat yang sedia ada di stesen pemindahan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI