fbpx

Naqiu jadi Mat Bond Malaya sebab Ramli MS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAQIU dan Ramli MS.

AWALNYA penyanyi Naqiu teragak-agak mahu menerima pelawaan membintangi Mat Bond Malaya, keputusan tersebut berubah sebaik dimaklumkan mentornya, Datuk Ramli MS turut membintangi filem berkenaan.

Katanya, jika maestro muzik yang terkenal dengan sikap tegas itu bersetuju muncul dalam filem komedi terbabit, tiada alasan dia perlu takut untuk menyahut cabaran.

“Ketika Nabil Ahmad selaku penerbit dan pengarah mengajukan tawaran, saya berada dalam tandas sementara menunggu giliran pada malam kemuncak Gegar Vaganza (GV).

“Waktu itu saya terkejut apabila dihubungi Nabil yang bertanyakan sama ada mahu menjadi hero dalam filem pertama arahannya membawakan watak perisik.

“Perasaan ketika itu teruja tetapi masih berbelah bahagi sebab ini kali pertama dipelawa sebagai karakter utama apatah lagi dalam penerbitan bergenre komedi.

“Tetapi apabila dia menyatakan ‘tok guru’ yang saya hormati, Datuk Ramli MS, yang ada di dewan sama sudah memberi persetujuan lebih awal, saya terus nekad mencabar diri,” ujar juara GV 2019 itu menceritakan pembabitan sebagai hero filem komedi tersebut.

FILEM Mat Bond Malaya mula ditayangkan menerusi Astro First saluran 480 pada 20 Julai lalu.

Juara GV 2019 itu dipilih bergandingan dengan Elizabeth Tan menjayakan watak ejen penyiasatan yang berdepan serangan virus zombi, sekali gus menjadi kemunculan sulungnya di layar perak.

Selain Naqiu dan Elizabeth, Mat Bond Malaya juga membariskan Riezman Khuzaimi, Azri Iskandar dan Amyza Aznan.

Filem berkenaan turut menampilkan kemunculan istimewa nama-nama besar sebagai pelakon undangan, antaranya, Datuk Yusof Haslam, Datuk Seri Aliff Syukri, Datuk Ramli MS, Syafiq Kyle, Ning Baizura, Han Byul dan Didie Alias.

Istimewanya juga, Mat Bond turut diserikan dengan undangan khas, empat pengarah terkenal iaitu Ghaz Abu Bakar, Aziz M. Osman, Michael Ang dan Mamat Khalid.

Bagi bekas vokalis Boboy yang pernah muncul dalam beberapa drama, menggalas amanah sebagai hero bagi sebuah naskhah komedi, bukan sesuatu yang mudah.

“Saya akui banyak belajar ketika masuk set. Awalnya karakter saya sangat biasa tetapi punya angan-angan ingin jadi luar biasa.

“Daripada berangan, tanpa disangka saya menjadi ejen di alam realiti dengan sikap yang seakan-akan ‘masuk air’.

“Segala-galanya lebih mudah sebab Nabil selaku pengarah tahu apa yang mahu dilakukan, malah kerja di set juga jadi pantas apabila dia tunjuk dulu babak dikehendaki sebelum kami beraksi.

“Nyata Nabil berjaya mencungkil sisi humor dari dalam diri saya.

“Tak sangka juga saya dapat menjiwai watak itu,” kongsinya.

MULANYA, Naqiu mengakui agak kekok apabila digandingkan dengan si cantik Lizzy sebagai hero dan heroin.

Ditanya mengenai gandingan bersama Elizabeth atau Lizzy, Naqiu mengakui mereka jarang berbual setiap kali selesai babak bersama disebabkan dia perlu bergegas ke lokasi lain untuk komitmen nyanyian.

“Boleh dikatakan waktu itu saya terikat dengan beberapa komitmen nyanyian sebab selepas musim GV tamat saya dalam sesi memperkenalkan diri semula dalam arena nyanyian.

“Namun Nabil sudah sedia maklum selain memberi pilihan untuk saya gunakan pelakon gantian, tetapi saya tetap ingin melakukan beberapa babak aksi kerana rasa rugi pula jika biarkan orang lain buat.

“Apa pun kalau orang kata saya dan Lizzy yang cantik itu tidak sepadan tetapi mereka masih boleh bergelak ketawa melihat gandingan kami, saya anggap lakonan kami ‘menjadi’,” kata Naqiu lagi.

Pada masa sama, Naqiu atau nama sebenar, Wan Naqiuddin Mohd Najib, 34, turut berharap pandemik Covid-19 segera berakhir sekali gus situasi semasa dapat kembali pulih.

Bagi yang tidak mahu ketinggalan mengikuti Mat Bond Malaya, filem berkenan mula ditayangkan menerusi Astro First saluran 480 pada 20 Julai lalu.

Mat Bond Malaya mengisahkan seorang jejaka bernama Mat yang ingin menjadi seorang ejen perisik di M6. Dengan bantuan ibunya, dia berjaya bekerja di M6, tetapi sebagai ‘office boy’ sahaja.

Pada masa yang sama, dia mula menyukai salah seorang ejen jelita bernama Bondi. Mat telah dicabar oleh G untuk mengambil gambar bersama Bondi, namun tidak berjaya.

Disebabkan kalah dalam pertaruhan, Mat terpaksa menjadi pembantu peribadi kepada G dalam menguruskan bahagian penyamaran identiti.

Satu hari dunia telah digemparkan dengan serangan virus zombi.

Mat tiada pilihan melainkan perlu mencari penawar bagi menyelamatkan semua orang sebelum virus tersebut merebak ke seluruh dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI